Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Mahkamah izin Guan Eng mula prosiding persoal saksi utama

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memberikan 'lampu hijau' kepada Lim Guan Eng untuk memulakan proses mencabar saksi utama pendakwaan dalam kesnya.

Hakim Azura Alwi memberikan kebenaran itu untuk Lim mencabar 31 daripada 108 halaman kenyataan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zarul merupakan saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Lim yang dikaitkan dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pasukan pembelaan bekas ketua menteri dan menteri kewangan itu telah memohon akses kepada kenyataan SPRM bagi memulakan prosiding penyingkiran untuk mempersoal kredibiliti Zarul.

Permohonan itu dikemukakan pasukan pembelaan yang diketuai peguam RSN Rayer bagi membolehkan mereka mengetepikan 31 halaman kenyataan Zarul.

Selepas keputusan tersebut, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihaknya memerlukan tempoh dua minggu sebelum dapat menyerahkan kenyataan terbabit kepada peguam Lim kerana perlu menyunting halaman yang tidak termasuk dalam kebenaran mahkamah.

Azura kemudian membenarkan pihak pendakwaan menyerahkan kenyataan berkenaan selepas dua minggu dari hari ini dan menetapkan 17 Jan depan untuk sebutan lanjut.

Isu keterangan Zarul menjadi pertikaian yang berpanjangan dalam perbicaraan tersebut kerana pasukan peguam bela Lim mendakwa Zarul berbohong dalam keterangannya sebagai saksi.

Pasukan pembelaan turut mendakwa Zarul ada memberikan keterangan yang bercanggah dalam kes jenayah yang berasingan di Shah Alam.

Percanggahan yang didakwa adalah mengenai sama ada 'suapan coklat' bernilai RM2 juta itu ditujukan kepada Lim atau sebaliknya bekas perdana menteri Najib Razak.

Lim berdepan empat tuduhan rasuah melibatkan rancangan pembinaan terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri pada masa itu untuk menerima suapan wang bernilai RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik syarikat Zarul melaksanakan projek berkenaan yang bernilai RM6,341,383,702.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Dia turut berdepan dua pertuduhan penyelewengan dalam melupuskan dua petak tanah milik kerajaan Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang bernilai RM208 juta kepada pemaju projek terowong tersebut.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang di Komtar, George Town, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.