Isu jalan rosak, masalah air di Pahang diadukan terus ke PM
Masalah jalan rosak, terutamanya membabitkan jalan persekutuan, serta isu bekalan air masih berlaku di Pahang, kata menteri besar negeri itu, Wan Rosdy Wan Ismail.
Perkara itu tambahnya sudah disuarakan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka di Putrajaya, semalam.
Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang juga sudah mengemukakan permohonan kepada Putrajaya bagi mendapatkan peruntukan tambahan agar dua isu utama tersebut diselesaikan.
Katanya dalam pertemuan dengan perdana menteri itu, ia turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Zulkifli Yaakob; Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Hafizah Zakaria; dan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Bhd, Zaini Mohd Bokhari.
"(Dan) saya telah memohon kepada kerajaan persekutuan untuk memberikan tambahan peruntukan supaya ia dapat diselesaikan," katanya ketika ditemui media di Kuantan hari ini.
Wan Rosdy turut memaklumkan perdana menteri berjanji untuk memberi pertimbangan serius kepada permohonan dikemukakan mereka.
Naib Presiden Umno itu menjelaskan, keutamaan kerajaan Pahang ketika ini adalah untuk mendapat peruntukan tambahan bagi menyelesaikan masalah jalan rosak susulan hujan lebat sejak Monsun Timur Laut melanda negeri Nov lalu.
"Kerajaan negeri akan buat langkah susulan dengan pejabat perdana menteri bagi mengetahui (status) permohonan yang dibuat," katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan Pahang memerlukan kira-kira RM400 juta bagi melakukan kerja baik pulih dan menyelenggara 3,000 kilometer jalan persekutuan di negeri terbabit.
Bagi menangani isu bekalan air pula, sehingga Dis lalu, hampir RM74 juta disalurkan kerajaan negeri membabitkan pelaksanaan 17 projek bekalan air termasuk di Lipis, Bentong, Temerloh, Raub dan Kuantan.
Secara keseluruhan sebanyak 217 projek membabitkan kos lebih RM2 bilion disenaraikan di bawah Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang bagi tempoh 2021-2026.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai