Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Lokman sanggah dakwaan Raja Petra pembangkang ada 120 SD

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Adam menyanggah dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin bahawa pembangkang telah mendapat 120 akuan bersumpah (SD), melalui 'Langkah Dubai', untuk menjatuhkan kerajaan.

Lokman juga berkata Raja Petra sendiri membuat dakwaan bercanggah berkenaan perkara itu.

"Pada 5 Januari lalu, Raja Petra sendiri membongkarkan calon perdana menteri Langkah Dubai adalah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

"Keesokannya, (Raja Petra) pula membongkarkan langkah ini memiliki tiga calon lain iaitu bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"Raja Petra sendiri menipu Raja Petra," kata Lokman dalam hantaran di Facebook hari ini.

Lokman turut berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) - yang memiliki 23 ahli parlimen - telah berkali-kali menolak untuk keluar daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selain itu, dia juga menyifatkan Raja Petra gagal memahami realiti politik di Sabah, dengan menyatakan Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan yang dipimpin Shafie Apdal tidak mungkin akan bersama-sama mengalih sokongan kepada PN.

"Hanya salah satu boleh beralih sokongan. Jika ada GRS maka tiada Warisan dan jika ada Warisan maka tiada GRS.

"Nampak sangat teori ini direka oleh orang Semenanjung mahupun (yang tinggal) jauh di London dan tak faham politik di Sabah," katanya lagi.

Lokman juga membangkitkan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang baginda berharap Anwar merupakan perdana menteri terakhir sebelum menamatkan tugasnya, selain mendakwa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bakal menggantikan tempatnya tidak akan membenarkan sebarang usaha untuk menukar kerajaan.