'Mitra kembali bawah KPN positif pada masyarakat India'
Pemindahan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang ke Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dilihat dapat membawa impak positif dalam jangka masa panjang terhadap pembangunan dan kemajuan masyarakat India Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata ia boleh dilaksanakan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi, sejajar dengan pemboleh daya perpaduan iaitu ‘memperkasakan komuniti minoriti dan rentan ekonomi’ yang digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara.
"Saya menyambut baik penstrukturan dan penyusunan semula agensi tersebut yang dianggap sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh lagi peranan kementerian dan agensi-agensi berkenaan.
"KPN komited menambah baik pembangunan sosioekonomi masyarakat India melalui pemerkasaan pelbagai inisiatif dan program bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat India termasuk bidang pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aaron berkata program peningkatan kemahiran, pembangunan modal insan dan peluang keusahawanan juga akan terus diperkukuh bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah masyarakat India yang berpendapatan rendah (B40).
Katanya dalam kerangka Ekonomi MADANI, turut ditekankan komitmen kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar semua kaum di Malaysia, dan sehubungan itu, KPN akan meneliti semula pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat dalam memperkasakan komuniti India di Malaysia.
"Saya berharap agar penstrukturan ini dapat membawa impak positif dan kesediaan kementerian untuk terus menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Mitra yang ketika itu di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diletakkan semula di bawah KPN selepas penyusunan semula Kabinet pada 12 Dis tahun lepas.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai