Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Anwar pakar kerajaan pintu belakang' - Dr M nafi terlibat Langkah Dubai

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan dia terlibat dalam 'Langkah Dubai', mendakwa dia sudah lama tidak berkunjung ke ibu kota Emiriah Arab Bersatu itu.

Mahathir turut menyerang Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan mendakwa Anwar adalah pakar dalam gerakan "kerajaan pintu belakang".

"Saya pasti ramai yang masih ingat langkah 16 September 2008 untuk menubuh backdoor government.

"Selain itu, ada juga Langkah Kajang untuk naikkan isteri (Wan Azizah Wan Ismail) jadi menteri besar Selangor.

"Ada juga langkah yang bersandar kepada 'I have the numbers’ dan juga langkah 'strong, formidable and convincing majority'. Semuanya adalah langkah untuk mengambil alih Kerajaan secara pintu belakang," katanya di X.

Pada 30 Dis lalu, Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop, mendakwa ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan semasa, dinamakan sebagai 'Langkah Dubai', dengan pemimpin PN serta ahli parlimen kerajaan mengadakan pertemuan semasa bercuti di kota itu.

Dia mendakwa pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugasan tertentu kepada ahli parlimen kerajaan untuk mengenal pasti wakil rakyat berpotensi mengalih sokongan kepada pembangkang.

Beberapa hari kemudian, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu, mendakwa ia bukan saja melibatkan pemimpin PN tetapi beberapa individu daripada blok kerajaan.

Meneruskan serangan terhadap Anwar, Mahathir berkata usaha yang dibuat Anwar tidak dianggap derhaka atau pengkhianatan pada masa itu, walaupun ia berisiko menjejaskan kestabilan kerajaan, prinsip demokrasi dan ekonomi negara.

"Kerajaan pintu belakangnya halal dan suci, asalkan dapat jadi perdana menteri," kata Mahathir.