Dakwa gangguan seksual: Pelajar seret guru ke mahkamah
Seorang pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor menyeret seorang guru yang juga jurulatih hoki ke mahkamah atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak berusia 13 tahun itu empat tahun lalu.
Plaintif, yang kini berusia 17 tahun, memfailkan saman pemula terhadap guru bahasa Melayu berusia 38 tahun itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2022.
Memandangkan kes saman ini melibatkan pelajar bawah umur, pihak-pihak yang terlibat tidak dinamakan kerana menjaga sensitiviti.
Menurut kenyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, dia mendakwa guru tersebut melakukan gangguan itu sebanyak dua kali pada 2019.
Berhubung kejadian pertama yang didakwa sekitar jam 9 pagi pada Nov tahun itu, remaja berkenaan mendakwa guru terbabit memanggilnya ke bilik sukan sekolah dengan alasan untuk berbincang prestasinya dalam hoki.
Dia mendakwa ketika guru itu memulakan perbincangan, jurulatih itu kemudian tiba-tiba menggunakan telefon pintarnya untuk mengambil gambarnya, dengan alasan dia adalah kapten hoki.
Remaja itu mendakwa guru itu kemudian mengarahkannya untuk mengambil beberapa posisi dan gaya semasa dia merakam gambar, termasuk untuk dia menghadapnya serta berulang kali membuka dan menutup mata serta mulutnya.
Dia mendakwa dia berasa terpaksa akur untuk mematuhi arahan guru itu merakam foto yang tidak pernah dipersetujuinya.
Hantar mesej WhatsApp
Ini termasuk arahan dia membelakangi guru itu sambil membongkokkan badan ke hadapan dan tangannya bersandar pada sebuah kabinet manakala guru terbabit mengambil gambarnya dari arah belakang.
Plaintif mendakwa kejadian kedua berlaku kira-kira jam 9.30 malam pada bulan Disember pada musim cuti sekolah, apabila guru itu secara tiba-tiba menghantar mesej WhatsApp kepadanya semasa dia berada di rumah dan mengarahkannya merakam beberapa gambar dirinya.
Pelajar itu mendakwa defendan itu mengarahkannya untuk mengambil gambarnya dalam pelbagai posisi dan gaya, termasuk merangkak serta dia berulang kali diarahkan guru terbabit membuka dan menutup mata dan mulut semasa berbaring.
Dia mendakwa perkara ini berlaku sehingga awal jam 3 pagi, dengan guru berkenaan didakwa berulang kali menghantar mesej mengarahkannya untuk merakam gambar dan menghantar gambar itu kepadanya sehingga dia berpuas hati.
Dakwa pelajar itu dia kemudiannya merasakan kepatuhan (submissiveness), terikat dan terpaksa akur untuk mematuhi arahan lelaki itu untuk memadam semua mesej WhatsApp serta gambar yang dia rakam pada telefon bimbitnya.
Di samping ibu dan abangnya yang selaku plaintif bersama (bapanya telah meninggal dunia pada 2020), pelajar itu berhujah arahan berunsur seksual guru itu sama dengan cubaan untuk menormalkan kejadian ini dan merupakan pengantunan (groom) terhadapnya.
Dia mendakwa sejurus selepas dua insiden yang dikatakan pada 2019, dia mendapat tahu beberapa ahli pasukan hokinya juga telah menerima arahan berbentuk seksual yang sama daripada guru itu.
Dia mendakwa, sekitar Januari 2020, guru itu sekali lagi menghubunginya semasa dia sakit di rumah dan meminta dia merakam gambar dirinya dengan alasan untuk memastikan keadaannya.
Bagaimanapun, dia berkata dia menolak arahan tersebut, menyebabkan guru itu memadamkan mesej berkenaan.
Dia berkata kemudian pada Februari tahun yang sama, seorang pelajar perempuan sekolah berasrama penuh yang sama juga telah membuat laporan berhubung dakwaan gangguan seksual oleh guru terbabit.
Dakwa pelajar itu lagi, dia mengambil masa sehingga Disember 2021 sebelum dia menangis di hadapan abangnya ketika mereka berdua berjalan dari rumah mereka ke kedai serbaneka, apabila dia memberitahunya tentang apa yang berlaku.
Trauma, tekanan emosi
Pelajar itu menjelaskan bahawa keluarganya kemudian berulang kali mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa pihak sekolah, yang didakwa mengaku tentang perbuatan gangguan seksual guru terbabit tetapi gagal mengambil tindakan sewajarnya terhadapnya.
Dia mendakwa berikutan kejadian itu, dia mengalami trauma, kejutan saraf dan/atau tekanan emosi yang teruk.
Ini termasuk insomnia, menyalahkan diri sendiri, hilang keyakinan diri, perubahan selera makan, hilang minat dalam aktiviti harian dan kecenderungan untuk menjadi agresif terhadap perkara remeh.
Pengetua, menteri turut disaman
Melalui saman mahkamah ini, dia menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan daripada bukan sahaja guru itu tetapi sepuluh defendan lain.
Sepuluh pihak lain yang disaman ialah pengetua sekolah, empat guru penolong kanan sekolah, seorang guru disiplin, pengarah pendidikan Selangor, menteri pendidikan ketika kejadian dan Kementerian Pendidikan, serta kerajaan persekutuan.
Sementara itu dalam pernyataan pembelaannya, guru tersebut menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap pelajar berkenaan, menunjukkan dia mempunyai saksi alibi untuk membuktikan dia tidak pernah memanggilnya ke bilik sukan sekolah.
Dia juga menafikan pernah menghantar sebarang mesej WhatsApp kepada pelajar itu yang dianggap sebagai gangguan seksual.
Firma guaman Faizal Rahman & Co mewakili gadis itu dan keluarganya.
Firma guaman Khairul Anan & Partners pula mewakili guru itu manakala defendan lain diwakili oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai