Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Tanya pasal pelancongan saja - Tok Mat elak komen Langkah Dubai

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan enggan mengulas mengenai dakwaan rancangan untuk menggulingkan kerajaan.

Menurut Utusan Online, menteri luar negara itu hanya tersenyum ketika diasak oleh wartawan mengenai Langkah Dubai.

“Tanya pasal isu pelancongan sahaja,” kata ahli parlimen Rembau itu ringkas.

Terdahulu, Mohamad hadir Program Penyerahan Busana Tradisional Malaysia oleh Kementerian Pelancongan di Putrajaya hari ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa (2 Jan) mengesahkan memang wujud gerakan mahu menjatuhkan kerajaan - digelar 'Langkah Dubai' - seperti dilaporkan sebelum ini.

"Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri berkata langkah itu melibatkan ahli parlimen dari blok kerajaan juga.

Sejak Langkah Sheraton pada 2020, yang membawa kepada keruntuhan kerajaan PH yang berusia 22 bulan, politik Malaysia telah menyaksikan kerajaan bertukar di luar proses pilihan raya melalui perubahan sokongan ahli parlimen.

Pada Ogos 2021, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang menerajui Langkah Sheraton, terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berikutan perpecahan antara dirinya dan Umno.

Pun begitu, cakap-cakap mengenai cubaan menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di kalangan pemimpin pembangkang telah tersebar sejak seawal pembentukan kerajaan perpaduan lagi.

Antaranya, kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Mac 2023 yang menjangkakan kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan tumbang "dalam masa terdekat."

Dalam perkembangan berkaitan, pada 3 Jan lalu Khairuddin Abu Hassan yang juga orang kuat kepada Dr Mahathir Mohamad berkata bekas perdana menteri itu tidak terbabit dengan Langkah Dubai yang ditegaskannya "tidak wujud."