Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Dalang' sindiket penipuan kuota warga asing disiasat

Beberapa laporan polis terhadap dalang yang tidak dinamakan yang terlibat dalam penipuan kuota warga asing yang didedahkan oleh Malaysiakini tahun lalu mendorong Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menumpukan siasatannya terhadap aktiviti penipuan pengambilan warga asing individu itu.

Pengarah JSJK Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan polis menerima empat laporan yang mendakwa dalang terbabit dalam syarikat cengkerang yang digunakan individu itu bagi mengambil warga asing.

Bagaimanapun, dia berkata pemilik syarikat yang dikaitkan dalam skim membawa masuk pekerja asing melalui cara penipuan tidak disiasat.

Ramli mengesahkan identiti dalang yang dilaporkan, tetapi Malaysiakini tidak mendedahkan namanya sementara menunggu pertuduhan rasmi terhadapnya.

Malaysiakini juga telah menghubungi individu itu untuk mendapatkan komen.

November lalu, siasatan Malaysiakini mendapati melalui sindiket enam syarikat, beratus-ratus pekerja warga asing telah diambil di bawah kuota yang diperoleh menggunakan dokumen palsu dan kelemahan dalam sistem.

Bagaimanapun, dalang itu kekal tanpa nama dalam urusan syarikat, didakwa bersembunyi di sebalik syarikat cengkerang atau syarikat sedia ada yang dimiliki oleh orang lain dan tidak meninggalkan jejak wang yang boleh mengaitkannya dengan perniagaan tersebut.

Syarikat itu termasuk Star Domain Resources Sdn Bhd, Aecor Innovation Sdn Bhd, Puncak Jupiter Management Services Sdn Bhd, QL-marketing Sdn Bhd, GTM Marketing, dan Buloke Holdings Sdn Bhd (Maxim).


Laporan berkaitan: Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing


Secara kolektif, enam syarikat itu telah memohon lebih 4,000 pekerja tetapi mendapat kelulusan kuota 1,625 pekerja yang mula tiba Januari lalu.

Malaysiakini juga mendapati pekerja yang diambil di bawah enam syarikat itu terpaksa merayau di sekitar Malaysia seperti gelandangan yang mencari pekerjaan.

Pekerja berdepan penahanan

Pekerja dari dua syarikat ini juga telah memfailkan laporan polis di ibu pejabat polis Nilai, terhadap majikan mereka yang didakwa telah menipu mereka berhubung pekerjaan sedia ada di Malaysia.

Satu kumpulan menamakan dalang itu dalam laporan polis mereka mendakwa telah ditipu.

Kumpulan pekerja asing yang berkeliaran mencari kerja dan mereka yang membuat laporan polis terhadap majikan mereka terlepas daripada nasib yang menimpa 171 warga Bangladesh di Pengerang, yang ditahan ketika cuba membuat laporan polis.

Pendedahan Malaysiakini mengenai saringan longgar oleh kerajaan mendorong gesaan untuk pasukan petugas luar peringkat tertinggi menyiasat pengurusan warga asing di negara ini dan memperbaharui gesaan untuk menjadikan Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi utama untuk menguruskan pekerja asing.

Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja belum menjawab pertanyaan Malaysiakini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail juga masih membisu mengenai skandal itu walaupun pengurusan kedua-dua kementerian berkenaan ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022.

Bagaimanapun, ini mungkin berubah kerana Saifuddin, selepas bertemu dengan Menteri Sumber Manusia yang baru dilantik, Steven Sim, dilaporkan berjanji untuk menangani pertanyaan dalam satu kenyataan bersama tidak lama lagi.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani mencadangkan denda RM30,000 bagi setiap pekerja warga asing yang dibawa masuk namun syarikat gagal menyediakan pekerjaan untuk mereka.

Johari tidak menyatakan sama ada cadangannya dibincangkan dan diterima oleh agensi penguat kuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.