Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Peguam heret polis ke mahkamah kerana kaitkannya dengan laporan AirAsia

Peguam veteran Rosli Dahlan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Dis lalu berhubung tindakan polis mengaitkannya secara salah dengan laporan yang dibuat oleh AirAsia Berhad.

Mahkamah menetapkan tarikh 19 Feb untuk mendengar permohonan berkenaan.

Menurut salinan afidavit sokongan terhadap semakan kehakiman itu, Rosli mendakwa sembilan responden telah menyalahgunakan kuasa dan proses undang-undang untuk mencemarkan nama dia dengan mengaitkannya secara palsu dengan laporan AirAsia terhadap i-Serve Technology danVacations Sdn Bhd (i-Serve) .

Dia menamakan sembilan responden iaitu Ketua Polis Negara, Razarudin Husain Abd Rasid; Pengarah Bahagian Jenayah Komersial, Ramli Mohamed Yoosuf; Timbalan Pengarah (Pengubahan wang haram/Siasatan perakauanan forensik), Muhammad Hasbullah Ali, tiga pegawai polis, pasukan polis, Jabatan Imigresen, dan kerajaan persekutuan.

Rosli mendakwa responden secara palsu mengaitkannya dengan dakwaan penipuan pada 2018.

“Saya tiada kaitan dengan perkara itu. Saya bukan pemegang saham/pengarah dalam syarikat tersebut (i-Serve) dan tiada kaitan dengan pengurusan atau operasi syarikat.

"Berdasarkan laporan polis, responden secara palsu dan salah membekukan akaun bank saya, termasuk akaun ASNB saya, dan menahan saya pada 26 Okt 2023, yang telah merosakkan reputasi saya sebagai seorang peguam, serta menjengkelkan dan menekan saya,” dakwa Rosli.

Peguam itu mendakwa ia merupakan satu bentuk penganiayaan politik terhadapnya, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lalu yang membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin (Rosli ialah antara peguam Muhyiddin).

“Sejak TSMY (Muhyiddin dibebaskan), serangan politik telah beralih fokus kepada saya dan firma guaman saya. Hakikatnya ialah saya tidak berpihak.

“Saya bukan ahli Bersatu mahupun ahli mana-mana parti politik. Sebagai peguam, saya bertindak dalam kes kepentingan awam untuk mendapatkan keadilan,” kata Rosli.

Dia berkata ini bukan kali pertama institusi negara digunakan untuk memfitnahnya, dengan menyebut bahawa SPRM memohon maaf kepadanya dalam kes mahkamah sivil yang berasingan pada 2016.

“Saya mempunyai reputasi berani kerana benr dan berkali-kali menunjukkan kesanggupan untuk bersemuka dengan mana-mana pihak termasuk institusi negara yang cuba memfitnah dan melemparkan perkara tidak benar terhadap saya,” kata Rosli.

Menerusi tindakan undang-undang itu, Rosli menuntut beberapa relif antaranya memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan responden pertama hingga kelima di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla) kerana secara salah mengaitkan dia dengan laporan polis AirAsia.

Rosli juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan pihak berkuasa menahannya serta membekukan 10 akaun bank dan akaun ASNB miliknya.

Malaysiakini telah cuba menghubungi wakil kerajaan dari Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara itu.

Pada Oktober tahun lalu, firma guaman Rosli telah diserbu oleh SPRM berhubung isu perjanjian penyelesaian bon 1MDB AS$6.5 bilion (RM30 bilion) antara Malaysia dan firma pelaburan antarabangsa Goldman Sachs.

Susulan serbuan itu, SPRM telah ke mahkamah untuk mendapatkan perintah mendapatkan dokumen sulit peguamcara-klien yang dikaitkan dengan perjanjian itu.

Bagaimanapun pada 6 Dis tahun lepas, agensi antirasuah itu telah menarik balik permohonan di mahkamah.

​[Baca berita asal]