Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Petani tertekan perubahan iklim, birokrasi ancam keterjaminan makanan

Di Malaysia, iklim ditentukan oleh Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut.

Dari akhir Mei hingga September, Monsun Barat Daya membawa kepada keadaan yang lebih kering, manakala Monsun Timur Laut, yang berlangsung dari November hingga Mac, membawa hujan lebat - memberi kesan kepada kawasan seperti pantai timur Semenanjung Malaysia dan sebahagian Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, pola iklim ini kini menjadi lebih sukar diramalkan dengan kehadiran El Niño dan La Niña. Fenomena cuaca ini memperkenalkan unsur ketidakpastian pada pola cuaca, mengganggu keseimbangan antara musim.

Di wilayah pantai barat Semenanjung Malaysia, situasi iklim ini menambah lagi cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim, yang memberi kesan kepada petani, menjadikan usaha mencapai keterjaminan makanan lebih rumit.

Karisnasamy Thevarayan, 66, seorang petani sayur-sayuran yang mengusahakan tanaman loofah dan timun di tepi Sungai Klang di Kota Kemuning, menghadapi masalah ini semasa banjir Semenanjung Malaysia Barat 2021.

Berhadapan dengan ancaman banjir yang berterusan dan ketidaksuburan tanah yang semakin meningkat, Karisnasamy menggunakan cara pertanian yang inovatif yang dipanggil kaedah tanaman gantung. Walaupun dengan kaedah ini, air banjir masih sampai ke beg tempat tumbuh-tumbuhannya.

“Apabila air naik kira-kira enam kaki, banjir secara automatik merosakkan (medium penanaman) sabut kelapa ringan di dalam polibeg. Kemudian air surut, polibeg dihanyutkan.

“Memang menyedihkan. Apa yang boleh kita lakukan? Ini bukan dalam kawalan kita. Ia di tangan Tuhan.”

Keterangan foto: Petani Karisnasamy Thevarayan bekerja di ladang untuk menanam anak benih pada 16 Nov 2023. Foto pada slaid seterusnya menggambarkan keadaan ladang itu selepas dilanda banjir pada 12 Dis.

Karisnasamy dan keluarganya menghabiskan sekurang-kurangnya dua bulan membersihkan kesan bencana 2021, kadang-kadang meminjam wang daripada rakan-rakan untuk pembaikan kecemasan bagi memulihkan tanah ladang mereka.

Ini bukan kes terpencil.

Lebih ramai petani berhenti mengeluarkan padi

Setiap tahun, beribu-ribu ekar tanah ladang merentasi pelbagai negeri di Malaysia menghadapi kesan perubahan iklim, mengalami banjir atau kemarau.

Di Sekinchan, kawasan yang merupakan pengeluar beras utama di Selangor, hasil padi melebihi sembilan tan sehektar, melebihi purata nasional empat tan.

Tiga penuai gabungan digunakan untuk mempercepatkan proses penuaian padi di Sekinchan pada 18 Nov 2023, sejurus sebelum monsun melanda.

Tetapi faktor iklim, serangga perosak dan kualiti padi yang tidak menentu telah menyebabkan penurunan mendadak pada penuaian suku pertama 2023, menjunam kepada lima hingga enam tan sehektar.

Pesawah Sekinchan, Sum Ping Nam, 66, menyalahkan cuaca yang tidak stabil yang menyebabkan tanaman rosak.

“Cuaca terlalu panas, dan terdapat kekurangan hujan. Padi tidak menerima nutrien yang mencukupi, menyebabkan penurunan hasil yang mendadak.”

Pada musim pertanian lalu, katanya, cuaca kering dan panas mengakibatkan hasil rendah antara empat hingga lima tan hingga lapan tan sehektar.

Tetapi apabila hujan mencukupi, katanya, hasil boleh meningkat daripada sembilan kepada 11 tan sehektar.

"Iklim berubah sama sekali, dan masa berubah secara drastik. Apabila sepatutnya hujan, tidak ada hujan, dan apabila tidak sepatutnya hujan, hujan turun," kata petani padi Sekinchan Pua Kim Sui, 69.

Sum Ping Nam (kanan) dan Pua Kim Sui (kanan) mempunyai pengalaman hampir 50 tahun dalam penanaman padi, dan merupakan antara populasi petani tua di Malaysia.

Para petani berkata, corak cuaca yang tidak menentu dan kesannya terhadap hasil padi juga telah memaksa sesetengah petani beralih daripada menanam padi kepada tanaman lain, seperti jambu batu, calamansi dan pisang, untuk melangsungkan kehidupan mereka.

Ini memberi lebih cabaran kepada keterjaminan makanan di Malaysia, dengan beras merupakan makanan ruji tetapi pengeluaran domestik hanya mampu menampung 63 peratus keperluan tempatan.

Sawah padi di Sekinchan yang telah dijadikan ladang pisang.

Cabaran birokrasi

Tetapi perubahan iklim bukan satu-satunya sebab menanam padi menjadi kurang menarik kepada petani.

Sebahagian lainnya, adalah berkaitan dengan ekonomi dan birokrasi sekitar pertanian padi, kata Nurfitri Amir Muhammad, penyelaras Forum Keselamatan dan Kedaulatan Makanan Malaysia.

Satu isu utama ialah akses kepada benih.

Bulan lalu, petani padi di Kedah terpaksa membeli benih di pasaran gelap, kerana berlaku kelewatan bekalan benih padi bertauliah daripada penjual sah, seperti dilapor Kosmo!

Tanpa benih yang dibeli di pasaran gelap, petani terpaksa meninggalkan musim menyemai tahunan yang biasanya berakhir pada bulan Oktober.

Tetapi ia datang dengan kos. Benih dari penjual sah berharga RM35 per kampit tetapi di pasaran gelap berharga RM52 per kampit.

“Apabila petani menghadapi kesukaran untuk mendapatkan benih sah tepat pada masanya atau perlu membeli pada harga yang lebih tinggi, ini menyebabkan kelewatan dalam masa penanaman yang optimum.

“Kadang-kadang apabila menerima benih, hujan lebat melanda dan anak pokok hanyut akibat banjir.

"Sebaliknya anak pokok mati atau menjadi tidak matang untuk bertahan dengan kemarau sekali gus menyebabkan hasil kurang dan petani perlu membuat semula proses memaksa mereka menanggung kos tambahan,” kata Nurfitri.

Keupayaan untuk memilih padi tahan cuaca juga penting.

Bergantung pada jenis tunggal yang terdedah kepada perubahan iklim meningkatkan risiko semasa cuaca ekstrem, memburukkan lagi situasi kekurangan makanan, sementara mempelbagaikan penanaman meningkatkan daya tahan.

Mardi Siraj 297 yang diperkenalkan pada 2016 adalah antara benih pilihan di Sekinchan kerana ketahanannya terhadap beberapa penyakit padi.

Tetapi ini adalah cabaran kepada petani di Malaysia, walaupun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia merupakan perintis dalam pembiakan tanaman pada tahun 1970-an.

Hari ini, Malaysia dilihat lembap dalam mengguna pakai varieti baru beras, berbanding negara pengeluar beras lain di rantau ini. Ini termasuk pengenalan varieti yang lebih tahan terhadap perubahan iklim.

Sepanjang lima dekad yang lalu, India telah memperkenalkan lebih 1,900 jenis beras, Filipina mempunyai lebih 200 jenis, dan Thailand mempunyai lebih daripada 80 jenis, manakala Malaysia memperakui kurang daripada 51.

Di Malaysia, penyelidikan, penanaman dan pensijilan undang-undang jenis baru biasanya melebihi 12 tahun, dengan hanya 12 syarikat pengeluaran beras berlesen di seluruh negara.

Nurfitri berkata petani berpengalaman di negara ini boleh berinovasi dengan varian benih yang pelbagai untuk menahan panas atau hujan yang melampau, tetapi mendapatkannya dalam jumlah yang besar adalah sukar.

Undang-undang seperti Perlindungan Varieti Tumbuhan memberi pembiak varieti baru hak eksklusif ke atas varieti tumbuhan dalam satu tempoh masa, manakala peraturan lain menghalang petani daripada mengguna pakai varieti yang lebih pelbagai.

Petani juga tidak dibenarkan menanam varieti yang tidak dikeluarkan oleh Mardi, langkah yang disifatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan adalah untuk mengurangkan risiko penyakit tanaman, yang boleh diperkenalkan melalui benih luar.

Faktor harga

Allen Lim, yang menguruskan kilang padi dan galeri padi di PLS Marketing Sdn Bhd di Sekinchan, berkata harga beras tempatan yang terkawal yang rendah juga menjadi punca ramai pesawah beralih ke tanaman lain.

Katanya, harga RM2.60 sekilogram tidak berubah sejak 2008, walaupun kos pengeluaran meningkat.

Harga kawalan yang rendah juga memaksa ramai pesawah bertindak membuat kerja lain demi kelangsungan hidup, dan hanya mejadi "petani separuh masa", katanya.

Ketika dihubungi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kementerian sedang mengkaji sama ada akan mengapungkan harga beras putih tempatan, "untuk memastikan keputusan menang-menang bagi petani, industri dan pengguna".

"Mungkin pada suku pertama tahun depan, akan ada pengumuman," katanya kepada Malaysiakini.

Seorang penjual sayur di Pasar Siti Khadijah in Kota Bharu, Kelantan

Petani sayur, seperti Karisnasamy di Kota Kemuning, juga terkesan dengan isu harga, tapi sebaliknya kerana tiada kawalan harga.

Jelas Karisnasamy, apabila harga sayuran naik di pasaran tempatan, para pengimport akan mengambil kesempatan untuk membawa masuk sayur dari luar negara.

Lambakan ini akan menurunkan harga pasaran, ada kalanya ke tahap yang tidak berbaloi untuk petani tempatan.

"Harga petola naik sehingga RM2.50 satu kg tapi bila petola dari Thailand masuk ke pasaran, harga turun ke RM1.50 per kg.

"Kami dapat 300 kg sehari dan hasil jualan sebanyak RM450. Dengan itu kami perlu bayar pekerja, mana cukup," katanya.

Aktivis kedaulatan makanan, Nurfitri berkata lambakan import ini berkaitan dengan perjanjian perdagangan yang menghalang kerajaan Malaysia mengenakan duti import untuk mengawal kemasukan hasil tanaman dari luar negara.

Pada masa sama, kawalan dan monopoli dalam input pertanian seperti baja, biji benih dan peralatan juga memberi tekanan kos kepada petani, katanya.

"Kenapa kita ada dasar untuk lindungi pasaran kereta tempatan melalui dasar kereta nasional, tapi tidak untuk sayuran untuk melindungi kedaulatan makanan negara?" kata Nurfitri.

Petani ambil langkah sendiri

Tetapi mereka yang berada di lapangan tidak mempunyai banyak masa untuk menunggu dasar kerajaan bagi mengejar keperluan mereka dalam menghadapi corak cuaca yang berubah dengan pantas.

Di Sekinchan, para petani telah mengambil langkah sendiri untuk mencari jalan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.

Tahun ini, pemilik kilang Lim berkata, industri padi Sekinchan dan agensi tempatan secara kolektif mengalihkan kitaran penanaman untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca terkini. Peralihan itu mengambil masa tiga tahun dalam perancangan.

Secara tradisinya, petani padi Sekinchan menuai dari pertengahan November hingga Disember.

Tetapi hari ini, kata Lim, jumlah hujan pada bulan-bulan ini adalah sangat tinggi sehingga menyukarkan penuaian.

“Oleh itu, masa penanaman telah diselaraskan dengan baik. Sebelum musim hujan lebat melanda, hasil telah pun dituai pada penghujung Oktober.supaya banjir atau keadaan basah tidak menjejaskan hasil.

"Tahun ini, kita mendahului musim tengkujuh dan petani gembira dengan hasil padi," katanya.

Allen Lim mempamerkan bungkusan beras putih tempatan yang dihasilkan oleh kilangnya. Kilang itu juga menjual beras import untuk mengaut keuntungan tambahan.

Walaupun petani Sekinchan menunjukkan hasil yang baik hari ini, kajian saintifik mengunjurkan bahawa hasil pertanian secara amnya akan menurun kira-kira satu pertiga disebabkan perubahan suhu dan corak hujan, menunjukkan trend yang tidak dapat dielakkan.

Ini bermakna usaha yang lebih besar dan lebih bersepadu diperlukan untuk menyokong petani bagi mengurangkan kesan perubahan ini.

Elisa Azura Azman, pensyarah kanan pertanian di Universiti Putra Malaysia berkata penggiliran tanaman, seperti yang diamalkan oleh petani padi di India, boleh menjadi satu penyelesaian.

Ini bermakna menanam tanaman lain selepas padi dituai, untuk menyuburkan tanah dan mengurangkan risiko pembentukan penyakit dan serangga perosak.

Jika kitaran penanaman diubah, mungkin ada kemungkinan tanah itu digunakan untuk mengusahakan tanaman lain, selepas padi dituai.

“Namun begitu, petani harus mengetahui tanaman yang lebih sesuai. Setiap tanaman mempunyai keperluan tertentu. Sebagai contoh, sawah padi kita mempunyai tanah liat yang menampung air dengan baik, tetapi ia tidak baik untuk tanaman yang tidak memerlukan banyak air.

“Tanaman yang berbeza mempunyai keperluan nutrien yang berbeza. Pusingan tanaman boleh membantu mengimbangi tahap nutrien dalam tanah, mencegah penyusutan nutrien tertentu dan meningkatkan kesuburan tanah secara keseluruhan,” katanya.

Anak benih padi ditanam oleh pekerja asing, yang diupah oleh petani untuk mengurangkan kos buruh.

Revolusi pertanian

Sesetengah petani juga telah menemui cara lain untuk menangani faktor cuaca - iaitu menanam di kawasan tertutup 

Di Lembah Klang, syarikat penanaman sayur-sayuran Farmy menggunakan lot di pusat beli-belah untuk menanam sayur-sayuran secara menegak.

Pengarahnya, Shoma Tsubota, berkata dengan kaedah itu, ia boleh menjamin 99 peratus hasil.

Katanya, petani bukan sahaja dapat mengawal jumlah cahaya dan air yang diterima oleh tumbuhan, malah tiada perosak.

Jelasnya, penanaman menegak dalam ruang sebegitu menggunakan 70 peratus kurang air, menghapuskan keperluan untuk racun perosak, mengurangkan penggunaan baja, dan tidak menghabiskan nutrien tanah.

Pengarah ladang Shoma Tsubota dengan ladang kale bertingkat - tumbuhan yang lebih menguntungkan kerana ia boleh menghasilkan pelbagai hasil.

Tetapi ia bukan penyelesaian ekologi sepenuhnya atau berdaya maju secara komersial.

Pertanian dalaman bergantung pada pencahayaan LED untuk meniru cahaya matahari dan pam air untuk pengairan, yang semuanya dikuasakan oleh elektrik. Di Malaysia, sebahagian besar tenaga elektrik dijana oleh loji janakuasa arang batu.

Ia juga masih tidak berdaya maju secara komersial untuk semua tanaman. Farmy kebanyakannya menghasilkan sayur kale, yang boleh dijual pada harga yang lebih tinggi, berbanding dengan yang lebih biasa dimakan, dan sayur-sayuran berdaun yang lebih murah seperti bayam atau sayur sawi.

Walaupun begitu, Tsubota percaya ia boleh menjadi pilihan yang lebih mesra alam berbanding menghantar sayur-sayuran dari tanah tinggi ke bandar.

“Kami berada di tengah-tengah bandar. Ia mengambil masa kurang 30 minit untuk kami menghantar kepada pelanggan. Berbanding ladang konvensional seperti di Cameron Highland ia akan mengambil masa yang lebih lama, dari ladang ke pembekal kemudian ke kedai. Terdapat lebih banyak tenaga yang terlibat dari segi penggunaan bahan api untuk pengangkutan.

“Secara logiknya kami sudah mengurangkan jejak karbon, dari segi sumber, dari segi kemampanan, ia lebih cekap dengan cara itu.”

Ladang menegak dalam persekitaran bandar semakin dilihat sebagai satu cara untuk mengukuhkan keterjaminan dan kemampanan makanan.

Pekerja ladang menyusun anak benih Kale yang bercambah ke dalam lubang hidroponik untuk proses pertumbuhan. Lampu LED ungu meniru cahaya matahari yang diperlukan oleh tumbuhan untuk fotosintesis.

Di Singapura - sebuah negara bandar yang mengimport 90 peratus keperluan makanannya - pendekatan ini dilihat sebagai kunci untuk kedaulatan makanan negara.

Pada 2022, ia berjaya menuai padi dari ladang menegak yang dinaikkan di blok rumah pangsapuri.

Negara itu juga melabur dalam penanaman menegak sayur-sayuran dan ikan dalam usaha untuk menghasilkan 30 peratus daripada keperluan makanannya.

Dengan perubahan iklim, peningkatan urbanisasi dan populasi petani yang semakin tua, perubahan radikal dalam cara Malaysia mendekati dasar pertaniannya boleh menjadi revolusi pertanian yang diperlukan untuk melindungi masa depan makanan negara.


Artikel ini dihasilkan sebagai sebahagian daripada projek kewartawanan penyiasatan yang dibiayai oleh Rangkaian Demokrasi Asia (ADN).