Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Zahid sahkan 'Langkah Dubai' bukan rekaan

Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan memang wujud gerakan mahu menjatuhkan kerajaan - digelar 'Langkah Dubai' - seperti dilaporkan beberapa hari lalu.

Bahkan Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa gerakan berkenaan bukan saja didalangi pemimpin dari parti pembangkang bahkan turut disertai individu tertentu dari blok kerajaan.

Kata Ahmad Zahid, dia menerima laporan perisikan berkaitan gerakan itu sebaik sahaja individu terbabit tiba dilokasi yang dilaporkan, serta selepas mereka selesai mengadakan pertemuan.

"Laporan-laporan dari segi perisikan memang kami perolehi seawal penerbangan mereka ke tempat itu dan laporan selepas itu kita perolehi,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri taklimat penyelarasan situasi bencana terkini di Putrajaya, hari ini.

Ditanya siapakah individu yang terlibat dalam gerakan itu berdasarkan laporan perisikan yang diperolehi, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka.

Sebaliknya, ahli parlimen Bagan Datuk itu menasihatkan individu terbabit menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.

Sabtu lalu Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop, mendakwa ada rancangan sulit digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ismail berkata rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN serta ahli parlimen kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dia juga mendedahkan ada tugas khusus diberikan kepada penyokong kerajaan itu mengenal pasti ahli-ahli parlimen berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang.

PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menganggap usaha menjatuhkan kerajaan di luar pilihan raya itu hanyalah cubaan yang membuang masa.

“Pada hemat kami langkah itu hanya membuang masa.

“Saya juga fikir langkah yang mereka lakukan itu adalah tindakan yang tidak baik kerana mereka telah lakukan 'tebuk atap' ini beberapa kali," katanya.

Dia menambah, ketika ini kedudukan kerajaan perpaduan adalah kukuh kerana mendapat sokongan melebihi dua per tiga di Dewan Rakyat.

"Keutamaan kerajaan kini adalah untuk membangunkan negara kita terutamanya dari segi ekonomi, memberikan kesejahteraan yang melata kepada rakyat dan bukan soal-soal politik,” katanya.