Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Saya akan saman individu kaitkan saya dengan Langkah Dubai'

Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad berkata dia akan memfailkan saman terhadap seorang individu yang didakwa mengaitkannya dengan "Langkah Dubai".

Abdul Rahman juga telah memfailkan laporan berkenaan perkara itu hari ini, diiringi kira-kira 100 pemimpin cawangan dan bahagian Umno Lipis.

Menerusi hantaran di Facebook, dia menafikan dia berada di sekitar Dubai - di mana pemimpin PN didakwa bertemu dengan ahli parlimen kerajaan untuk merancang plot menjatuhkan kerajaan.

"Sedangkan dalam tempoh beberapa minggu ini saya yang juga ahli parlimen Lipis berada di Malaysia khususnya di Lipis bagi memenuhi program dan menyantuni masyarakat di sini," katanya.

"Saya tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana pihak untuk menumbangkan kerajaan ini.

"Kerajaan ini ada 153 sokongan (ahli parlimen), jadi kenapa saya perlu nak (terlibat dengan) 'move' dan berlumba-lumba untuk jatuhkan kerajaan," katanya dalam rakaman video yang disertakan bersama hantaran itu.

Dalam satu video yang dimuat naik di Youtube, seorang lelaki dilihat membacakan senarai nama - termasuk Abdul Rahman - daripada artikel yang disiarkan di sebuah laman web.

Lelaki itu turut mendakwa pihak yang terlibat kecewa kerana tidak dilantik sebagai menteri kabinet.

Abdul Rahman dilantik sebagai timbalan menteri ketika rombakan kabinet pada bulan lalu.

Dia berkata bagi mengelakkan dakwaan itu diulang dan bagi membersihkan namanya, "tindakan undang-undang yang berat" akan diambil terhadap individu tersebut.

Pada Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop mendakwa ada rancangan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ismail berkata rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dia mendakwa satu pertemuan diadakan semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

PN telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.