Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

J-Kom dakwa 'Langkah Dubai' dirancang gulingkan kerajaan Anwar

Gerakan terbaru sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan perdana menteri, Anwar Ibrahim yang didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dakwa Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop.

Ismail berkata rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Dia mendakwa satu pertemuan diadakan semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.

"Menjadi rahsia umum sehari dua ini cerita mengenai percutian di Dubai oleh tokoh-tokoh dari PN. Diikuti dengan kehadiran beberapa pimpinan lain yang dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan yang tidak senang dengan cara kepimpinan PMX (Perdana Menteri Ke-10) dan Kerajaan Madani.

"Maka dikhabarkan ada rumusan 'Langkah Dubai' disusun dengan assignment (tugasan) diberikan kepada PIC (orang yang bertanggungjawab) yang ditugaskan untuk bertemu, berunding dan (mengemukakan) tawaran kepada mereka yang dikenal pasti boleh beralih sokongan kepada mereka (pembangkang).

"Dikatakan ada jurucakap yang ada akses dengan kepimpinan disebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk cuba meyakinkan bahawa awal 2024, Kerajaan MADANI akan tumbang siap dengan tarikh dan dateline sekali," kata Ismail dipetik Berita Harian.

Ismail mendakwa terdapat pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan 'sumber asing' untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

Katanya, dia memperoleh maklumat mengenai gerakan terbaru itu daripada pelbagai sumber, dan bukan hanya daripada satu pihak saja.

Dia juga mendakwa memiliki butiran pemimpin PN mahupun di pihak kerajaan yang terbabit usaha tersebut tetapi memilih untuk tidak mendedahkan perincian terbabit, dengan alasan ia bukan tanggungjawabnya.

"Apa pun, saya tidak mahu dedahkan tetapi kedudukan saya dengan jawatan yang saya pegang (dalam J-KOM), saya (boleh) akses banyak maklumat (antaranya) dalam konteks yang saya anggap kalau sampai peringkat mengancam keselamatan negara, gangguan soal kestabilan dan keharmonian masyarakat, saya fikir tidak adil kalau saya berdiam diri," katanya.

Menyifatkan langkah itu sebagai gerakan pengkhianatan, Ismail menggesa Perdana Menteri bertindak tegas

Tegasnya, gerakan itu jelas menunjukkan ia adalah konspirasi politik berniat jahat, yang berpotensi mengancam kedaulatan dan keselamatan negara.

"Secara peribadi, saya anggap semua tindakan mereka ini 'as ant act of treasons' atau suatu usaha atau gerakan pengkhianat untuk menggulingkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong.

"Justeru, PMX ada asas yang kukuh untuk bertindak secara afirmatif. PMX juga perlu segera arahkan Kementerian Dalam Negera, Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan negara untuk menyiasat beberapa individu yang didapati terbabit secara langsung itu.

"Ia termasuk (mengheret mereka yang) ada kaitan dengan usaha jahat ini (Langkah Dubai) untuk disoal siasat atau diambil keterangan mereka," katanya.

Terdahulu tular mengenai pertemuan tertutup beberapa ahli parlimen PN dan dua ahli parlimen dari BN di Dubai.

Gerakan itu didakwa diatur beberapa pemimpin PAS dan Bersatu untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, ketua penerangan Bersatu Razali Idris memberitahu Sinar Harian bahawa dia tidak mempunyai maklumat mengenai dakwaan pergerakan itu.

"Saya tidak tahu menahu soal itu," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, ‘Langkah Dubai’ tidak pernah dibangkitkan oleh mana-mana ahli parlimen pembangkang, khususnya Bersatu.