Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Beri pendidikan pada pelarian untuk tangani masalah dengan warga tempatan'

Adun Skudai Marina Ibrahim menggesa kerajaan menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian sebagai jalan untuk menangani ketegangan antara golongan pelarian dengan masyarakat setempat.

Berpengalaman mengajar kanak-kanak etnik Rohingya, Adun DAP itu berkata mereka yang menerima pendidikan mampu menyumbang kepada masyarakat, manakala kalangan yang tidak mendapatnya terdedah dengan masalah sosial, seterusnya menyebabkan ketegangan dengan masyarakat.

"Bila bawa masuk mereka atas dasar kemanusian, kena datang sekali dengan pendidikan dan lain-lain. Ini kerajaan kena lihat balik.

"Tak boleh bawa masuk kemudian biarkan mereka terumbang-ambing. Rakyat yang terpaksa hadap perkara ini tanpa penyelesaian," katanya di X.

Marina berkata berdasarkan pengalamannya, pendidikan juga boleh menghentikan masalah kahwin bawah umur dalam kalangan sesetengah komuniti rentan, yang menyebabkan kesan buruk rentas generasi.

Dia berkata ada remaja perempuan yang tidak berpendidikan terus dikahwinkan selepas mencapai usia baligh.

"(Mereka) tiada pendidikan seksualiti, umur baru 18 tahun tetapi anak ramai, terbiar.

"Bila tak sekolah dan tiada pendidikan, apa jadi? Mereka tidak faham undang-undang, banyak perkara (mereka) tak faham," katanya lagi.

Dia berkata pernah berdepan kes di mana seorang perempuan pelarian muda "menumpangkan" anak-anaknya kepada penjaga dan kemudian menghilangkan diri.

"Anak-anak tak berdosa terbiar.

"Sebab itu saya juga ajar mereka pendidikan seksualiti. Mereka yang terpelajar ini peluk saya (dan kata) tak nak kahwin awal."

‘Lebih beradab, dapat bergaul dalam masyarakat’

Mengulas lanjut, Marina berkata dia mula terlibat dalam pendidikan golongan pelarian sebagai usaha menangani ketegangan yang kian meningkat di kawasannya, termasuk berkaitan masalah sosial dan kebersihan.

Justeru, dia melihat pendidikan bukan berkisar soal akademik semata-mata tetapi juga sebagai panduan kepada kanak-kanak pelarian tentang bagaimana untuk hidup bersama masyarakat tempatan.

"Dari dulu saya anggap mengajar ini sebagai cara saya membantu rakyat tempatan.

"Apabila mereka terdidik, mereka akan lebih terkawal, ada adab, bersikap sangat baik serta boleh bergaul baik dengan komuniti tempatan," katanya.

Pada masa sama, Marina berkata tidak adil untuk mengkritik orang tempatan yang tidak suka dengan golongan pelarian dalam persekitaran mereka.

"Bila bercakap, sila letak diri kita di tempat rakyat tempatan. Tugas kita bukan tahu mengkritik rayak sendiri dengan kata mereka tiada empati (terhadap pelarian).

"Pandangan kedua-dua pihak perlu didengar supaya boleh cari penyelesaian bersama," katanya.

Pandangan Marina ini adalah sebahagian daripada perbincangan di X berkenaan pelarian yang kian ramai di Malaysia.

Antaranya mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan yang berpandangan pelarian memburukkan tekanan yang dihadapi sistem kesihatan di Malaysia.

Bagaimanapun, ada juga pekerja yang berkata sudah menjadi tugas mereka untuk memberi akses kesihatan yang sama kepada semua.

Selain itu, sejumlah pengguna merungut berkenaan kanak-kanak pelarian yang meminta sedekah secara "agresif" di jalan raya, terutama di persimpangan lampu isyarat di Lembah Klang, manakala ada juga yang berkongsi pengalaman positif bersama kanak-kanak pelarian di pusat pendidikan untuk mereka.