Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

DBKL akan cadang lokasi tapak khemah lain - Tian Chua

Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua berkata, piket enam hari mereka akan diteruskan di lokasi sedia ada buat masa ini, sementara menunggu lokasi lain yang akan dicadangkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini berikutan notis DBKL awal hari ini menolak permohonan SSP untuk mendirikan khemah di luar bangunan parkir MAPS - terletak kira-kira 200m dari Kedutaan AS.

Tian Chua berkata dia telah menghadiri mesyuarat dengan DBKL dan polis malam ini, yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

"Kami mendengar (kebimbangan) semua pihak. Kebimbangan utama DBKL dan polis adalah keselamatan. Kami menjelaskan bahawa kami telah mengambil kira perkara ini dan memberi jaminan bahawa semuanya akan dilakukan dengan teratur.

“Bagaimanapun, DBKL masih bimbang khemah tersebut akan membahayakan lalu lintas,” katanya kepada pemberita malam ini.

Tian Chua berkata, dia telah menyoal wakil DBKL pada mesyuarat itu jika khemah benar-benar membimbangkan, dan jika ya, SSP akan bersedia untuk membantah tanpa khemah.

Bagaimanapun, dia telah mencadangkan agar DBKL menyediakan lokasi alternatif dengan syarat ia masih terletak berhampiran kedutaan AS.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi hari ini, sepasukan penguat kuasa DBKL di lokasi memberitahu Malaysiakini bahawa tiada arahan diterima untuk mereka membongkar khemah itu.

Seorang penguat kuasa kanan yang berada di lokasi piket menyatakan bahawa kumpulan itu boleh meneruskan rancangan mereka di tapak sehingga Ahad.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Tian Chua menerima notis DBKL yang menolak permohonan SSP untuk mendirikan khemah berhadapan bangunan MAPS di Jalan Tun Razak.

Dalam surat yang dilihat Malaysiakini, DBKL berkata khemah tersebut berpotensi mengganggu premis dan kawasan perumahan berhampiran, mengganggu lalu lintas, dan mengancam keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, DBKL dalam notisnya berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan lokasi lain untuk mengadakan piket itu.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang hadir di lokasi piket memberitahu orang ramai malam ini bahawa pihak berkuasa tidak akan mengganggu protes yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Tian Chua menjelaskan alasan SSP memasang khemah selain menyediakan tempat tidur kepaa penunjuk perasaan, adalah sebagai simbol penderitaan bagi pelarian Palestin.

Tian Chua menambah bahawa polis menghalang SSP daripada menjalankan rancangan awalnya untuk "menyekat" kedutaan AS kerana hubungan diplomatik.

SSP melancarkan protesnya malam tadi, yang bermula dengan perarakan dari Menara TH Tun Razak berhampiran dan mengumumkan "sekatan" simbolik selama enam hari sehingga tahun baru.

Piket itu adalah sebagai tindak balas kepada langkah AS guna kuasa veto menyekat usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mendesak gencatan senjata di Gaza di tengah-tengah serangan berterusan oleh Israel.

Bilangan penunjuk perasaan di lokasi protes dijangka berbeza sepanjang hari, dengan perhimpunan mega yang dirancang pada 31 Dis.

Kumpulan kolektif itu terdiri daripada 35 badan masyarakat sivil, 15 kumpulan pelajar dan 13 parti politik.

Pihak penganjur juga telah menyediakan aktiviti malam untuk peserta - yang merangkumi penampilan penyair, pemuzik, penulis dan lain-lain.

Aktiviti malam ini menyaksikan penampilan daripada Adam, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, aktivis Hishamudin Rais, dan bekas ahli parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Maszlee, Ambiga, Hishamudin, dan Maria turut bersama-sama menyanyikan lagu 'Happy Xmas (War Is Over)' oleh John Lennon sebagai tanda solidariti dengan Palestin.