Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rumah MB Kelantan dinaiki air

Rumah Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud di Kampung Meranti, Pasir Mas turut dinaiki air akibat banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung.

Pun begitu, banjir tidak menghalang Mohd Nassuruddin daripada meneruskan tugasan menerajui pentadbiran di negeri itu.

"Paras air naik agak cepat. Lewat malam tadi kawasan rumah saya turut dinaiki air dan sekitar Kg Meranti.

"Alhamdulilah, pagi ini masih dapat melaksanakan tugasan rasmi ke pejabat untuk memimpin mesyuarat exco (Kerajaan Kelantan) di Kota Darul Naim," katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Setakat awal pagi tadi, jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada 4 petang semalam.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa sedikit menurun kepada 10,103 orang yang berlindung di 113 PPS.

Ini berbanding 10,199 orang di 125 PPS petang semalam, begitu juga di Pahang yang merekodkan seramai 485 mangsa di sembilan PPS berbanding 590 mangsa di 13 PPS.

Selangor pula dengan empat mangsa yang ditempatkan di PPS daerah Kuala Langat, manakala dua negeri terbaharu dilanda banjir, Sabah dan Johor masing-masing merekodkan seramai 169 mangsa di tiga PPS dan 83 mangsa di sebuah PPS.

Hujan berterusan juga dijangka berlaku sepanjang hari ini di Terengganu di daerah Dungun dan Kemaman; Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin); dan Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi).