Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

ULASAN l Goda isteri: Memahami seksyen 498 Kanun Keseksaan

ULASAN l Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan telah memansuhkan seksyen 498 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia dikatakan tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan koram yang mendengar rujukan isu keperlembagaan [constitutionality] seksyen 498 tersebut memutuskan sebulat suara bahawa seksyen tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, sekali gus bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan seksyen 498 itu adalah satu bentuk diskriminasi atas alasan jantina sahaja. Dan hakikat itu diterangkan dengan jelas oleh Seksyen 132 Kanun Acara Jenayah, yang menyatakan bahawa “Tiada mahkamah boleh melihat ada kesalahan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan, kecuali atas aduan yang dibuat oleh suami kepada perempuan itu”.

Untuk rekod , seksyen 498 Kanun Keseksaan hanya memberi hak kepada suami untuk bergantung kepada peruntukan itu dengan mengetepikan semua hak isteri.

Saya merasa terpanggil untuk memberi sedikit ulasan ke atas keputusan itu setelah saya membaca beberapa komentar beberapa pihak berkenaan keputusan tersebut.

Sebelum saya mengulas, saya rasa wajar untuk saya masukkan kaveat. Pertama, saya belum lagi membaca penghakiman sebenar oleh pihak mahkamah persekutuan. Kedua, komen ini hanya dilakukan dari sudut perundangan sematamata khususnya dari sudut Perlembagaan Persekutuan. Ketiga, komen ini tidak wajar diertikan seolah-olah saya bersetuju dengan tindakan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang.

Dalam keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, mahkamah memutuskan bahawa seksyen 498 telah mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Diskriminasi atas alasan jantina (gender discrimination ) telah dimasukkan ke dalam Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan setelah negara ini meratifikasi sebuah instrumen undang- undang antarabangsa yang dikenali sebagai CEDAW.

Secara mudah , CEDAW adalah undang undang antarabangsa yang berhasrat melupuskan segala bentuk diskriminasi ke atas wanita. Malaysia - seperti kebanyakan negara -negara Islam yang lain- telah bersetuju untuk menandatangani dan meratifikasi CEDAW tertakluk kepada beberapa "reservations" khususnya pada beberapa perenggan pada Artikel 16 CEDAW.

Ramai - khususnya golongan feminist- yang menganggap CEDAW adalah "undang-undang hak asasi manusia antarabangsa golongan wanita”. Secara intipati CEDAW cuba mempelopori persamaan mutlak lelaki dan wanita . Ini kerana para pejuang CEDAW majoritinya mengganut ideologi “ universalisme” dan bukannya ideologi “cultural relativism” atau ideologi Jack Donnelly iaitu “relative universality”.

Bagi negara Islam, meskipun CEDAW mengandungi beberapa peruntukan yang positif untuk wanita tetapi terdapat juga peruntukan tertentu yang dilihat tidak sesuai dengan shariah. Sebab itu meskipun negara Islam meratifikasi CEDAW, ia diratifikasi dengan beberapa reservations.

Dipendekkan cerita, CEDAW diratifikasi oleh Malaysia , dan selaras dengan itu, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan meminda Artikel 8 Perlembagaan untuk melarang diskriminasi jantina (gender). Parlimen berjaya meluluskan pindaan itu. Hatta, PAS juga menyokong pindaan tersebut .

Dalam kes yang kita sedang bincang ini (kes Lai Hen Beng lwn Pendakwa Raya), seorang ahli perniagaan telah didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 kerana dituduh memikat / menggoda wanita yang sudah berkahwin di sebuah pangsapuri di Selangor pada 2018 selepas laporan polis dibuat oleh suami wanita berkenaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac lalu telah membenarkan permohonan lelaki itu untuk merujuk persoalan undang-undang / perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan oleh mahkamah.

Apa dia seksyen 498 Kanun Keseksaan itu ? Mudahnya ,ia adalah seksyen yang menjenayahkan (criminalise) perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang.

Seksyen tersebut tidak terpakai untuk wanita yang menggoda suami orang.

Maknanya hanya lelaki (suami) sahaja yang boleh didakwa di bawah seksyen tersebut.

Para peguam berhujah bahawa seksyen 498 dideraf begitu kerana undang- undang dalam Kanun Keseksaan di negara ini dipengaruhi oleh undang -undang Kanun Keseksaan di India di mana wanita dianggap sebagai harta atau property suami mereka semasa undang- undang itu dideraf. Apapun, ini perbincangan panjang.

(Pandangan bahawa isteri adalah property suami dikatakan berasal dari pandangan seorang hakim di England- Sir Matthew Hale)

Oleh itu, hanya suami yang boleh didakwa kerana mengoda isteri kepada lelaki lain.

Justeru itu, sekiranya seorang lelaki itu terlibat dalam kesalahan "adultery" dengan isteri orang lain, hatta isteri si penggoda itu tidak ada " legal recourse" di dalam Kanun Keseksaan (Penal Code).

Jelas, ia adalah sebuah seksyen yang "berbau" diskriminasi ke atas wanita dan bercanggah dengan Artikel atau Perkara 8 ( 2 ) Perlembagaan Persekutuan maka di mana salahnya para hakim jika mereka memutuskan hal tersebut ?

Bukankah Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara ini dan para hakim telah angkat sumpah untuk menjunjung dan melindungi ketinggian Perlembagaan Persekutuan?

Ada pihak dalam PAS berkata pembatalan seksyen 498 kanun keseksaan merupakan bukti Kerajaan Madani sekadar (melaksanakan) retorik (dalam) melindungi dan menjaga kepentingan golongan wanita di negara ini.

Masalah besar pada hujah ini adalah pihak tersebut seolah - olah mahukan Kerajaan Madani mengawal keputusan mahkamah . Maknanya, tidak perlu ada pengasingan kuasa . Apakah itu suatu yang Islami?

Ada pula yang berhujah keputusan mahkamah membatalkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan adalah satu kekhilafan undang-undang, dan memberi implikasi serius, menyalahi agama dan adat tempatan.

Jujurnya saya rasa ini hujah yang aneh. Mengapa dikatakan menyalahi agama sedangkan mahkamah diminta untuk memutuskan keesahan (legality) sesuatu undang- undang dari kacamata Perlembagaan dan bukan dari kacamata Al-Quran dan Al-Hadith.

Ada juga yang berhujah jika asas hak persamaan digunakan untuk membatalkan Seksyen 498, tidak mustahil akan ada perogol yang berhujah bahawa mereka tidak boleh didakwa kerana seksyen 375 berbentuk diskriminasi terhadap lelaki kerana ia hanya menjadikan kesalahan rogol lelaki ke atas wanita, dan tidak ada peruntukan yang serupa bagi wanita yang merogol lelaki. Dan jika hujah itu diterima maka ramailah perogol akan lepas bebas!

Kesalahan merogol ada elemen penting iaitu penetration. Sebab itu kesalahan itu unik untuk lelaki sahaja!

Apapun, bagi saya hujah seperti ini orang putih kata “ too far of a stretch." Dan kata-kata bahawa “ jika hujah itu diterima maka ramailah perogol akan lepas bebas!” itu menganggap para hakim akan dengan mudah menerima logik dan hujah sebegitu. Dengan hormat, ia begitu naif.

Jika kita ingin bermain dengan isu andaian simplistik sebegitu, adakah para lelaki juga ingin berhujah mengapa tidak ada wad bersalin untuk lelaki? “Ini tidak adil” seperti dialog dalam filem Tiga Abdul.


MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah mantan ahli parlimen Sepang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.