Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hujan sangat lebat berterusan dijangka di Kelantan, T'ganu, Pahang

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memberikan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya sehingga Isnin 25 Disember dijangka berlaku di jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan•

Di Terengganu pula ia melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Sementara itu hujan lebat berterusan (tahap buruk) dijangka melanda Gua Musang di Kelantan, Kemaman di Terengganu serta Jerantut dan Kuantan di Pahang sehingga Isnin, 25 Disember.

Met Malaysia mengeluarkan amaran sama di Perlis serta Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling di Kedah manakala di Perak melibatkan daerah Hulu Perak.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, Pulau Pinang serta daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Kuala Kangsar di Perak.

Hujan berterusan (waspada) juga dijangka turun di Tanah Tinggi Cameron dan Lipis sehingga Isnin, 25 Disember.

Met Malaysia mengeluarkan amaran hujan ini pada 12:00 tengah hari, 24 Disember:

Amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam.

Amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan/ribut petir sedang/dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.