Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

ULASAN | Roh roh roh neh neh neh, pembangkang takut kena tenyeh

Unik dan luar biasa apabila seorang menteri utama kerajaan menyediakan gelanggang dan menjemput para pengkritik untuk menghentam beliau secara berdepan dalam sebuah program yang disiarkan secara langsung. 

Sepatutnya pada 8 Januari 2024 kita akan dapat menyaksikan hero maya Perikatan Nasional yang akan menjadi pemberani pertama untuk mencabar Rafizi Ramli dalam siaran podcast yang dijenamakan sebagai Yang Bakar Menteri (YBM).

 Mengapa langkah Rafizi ini pelik dan unik? 

Mengimbau karakter pemain politik Malaysia, debat merupakan ‘stunt’ yang sering menjadi senjata paling ampuh pihak pembangkang atau para pengkritik kerajaan. 

Pantang ada gerak geri kerajaan yang nampak goyang, pasti akan muncul cabaran debat terbuka dari pemimpin pembangkang. 

Lima jari cukup untuk mengira bilangan pemimpin kabinet kerajaan sebelum ini yang pernah menyambut ajakan debat pembangkang secara terbuka.

Tetapi langkah Rafizi ini telah menterbalikkan tradisi. Salam perdebatan dimulakan oleh pemimpin kanan dalam kabinet kerajaan. 

Melihat kepada lenggok bahasa pejuang maya Perikatan Nasional sepanjang setahun pemerintahan Kerajaan Perpaduan, boleh dijangkakan yang mereka akan berebut-rebut untuk tampil dalam gelanggang yang dibuka oleh Rafizi ini. 

Inilah peluang terbaik untuk mereka menghujat Rafizi dengan dalil-dalil bernas mereka dan mengkalungkan Rafizi sebagai menteri ekonomi paling gagal seperti yang selalu mereka katakan.

 Tetapi ajaibnya sehingga hari ini, 22 Disember masih belum ada perkhabaran daripada gerombolan tentera maya Perikatan Nasional yang berani hadir. 

Panglima maya paling gagah Perikatan Nasional yang dikenali sebagai YB Viral juga mengelak untuk hadir dengan alasan yang cukup lemau. 

Beliau berselindung di sebalik alasan yang beliau mahukan debat dan bukannya sembang podcast

Walhal kalau betul beliau adalah seorang pemberani kerana benar, apa juga pelantar yang ada pasti akan beliau gunakan demi memberi ‘pengajaran’ kepada si Rafizi secara berdepan.

   

Baling batu sembunyi tangan

Alangkah ruginya di saat ada pemimpin kerajaan bersikap terbuka dengan persaingan idea secara matang, pasukan pembangkang pula bergerak undur ke belakang. 

Amat malang negara kita jika bala tentera pembangkang hanya mampu baling batu sembunyi tangan. Bersorak sorai meraikan kepuasan nafsu fitnah dan tohmah dari kepompong mereka sendiri.

Saya percaya inisiatif Rafizi ini akan membuka mata rakyat terhadap perilaku tentera maya Perikatan Nasional yang hanya gemar mencipta perbalahan dengan fitnah dan pemesongan fakta.

Ayuh bala tentera Perikatan Nasional, munculkanlah panglima terhebat kamu untuk berdepan dengan Rafizi. 

Atau mungkin juga bala tentera pembangkang telah mengambil pengajaran daripada pengalaman YB Bachok pada 9 Ogos lalu. 

Roh roh roh neh neh neh, tersilap langkah nanti kena tenyeh.


SYUKRI RAZAB merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada menteri ekonomi. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak.

Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.