Restoran berputar Menara KL diarah kosong, tutup operasi
Restoran berputar Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur telah menutup operasinya, selepas diarah mengosongkan premisnya pada 4 Jan 2024.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan pemilik semasanya Hydroshoppe Sdn Bhd memohon perintah untuk mengosongkan Asian Kitchen Sdn Bhd, yang memiliki Atmosphere 360.
Ketua Pegawai Eksekutif Asian Kitchen Sdn Bhd, Ringo Kaw dipetik FMT berkata dia terkejut sebaik menerima notis itu.
“Bailif Mahkamah Tinggi muncul di restoran kami pagi semalam dan mengarahkan kami tutup dan terdapat ramai pelanggan yang sedang makan pada masa itu.
“Sambutan Krismas dan Tahun Baru hampir tiba dan tempahan kami telah dilanjutkan ke tahun depan.
"Jadi kami tiada pilihan selain menawarkan bayaran balik kepada pelanggan kami. Saya berasa sangat tidak berdaya.
"Kami berharap pihak berkuasa dapat melayan kami dengan adil," katanya.
Pengurusan sebelum ini, kata Kaw telah menjanjikan secara lisan lanjutan penyewaan restoran selama tiga tahun, sebelum Hydroshoppe mengambil alih pengurusan.
‘Setengah juta ringgit setahun selama 15 tahun’
Kaw berkata bahawa dia akan melakukan tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
Pengarah Urusan Hydroshoppe Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, yang syarikatnya telah mengambil alih konsesi penyelenggaraan Menara KL, dituduh terbabit rasuah berjumlah RM7.5 juta.
Hamid didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas menteri komunikasi dan multimedia Annuar Musa melalui pengarah MyCreative Ventures Tan Ser Lay.
Sogokan itu didakwa untuk mempercepatkan cadangan penjualan saham dan pengambilalihan konsesi daripada Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.
Perjanjian itu dikatakan berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov 2022.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai