Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Perjalanan Thomas Fann: Dari gereja ke jalan raya

WAWANCARA | Gabungan pemantau pilihan raya Bersih memainkan peranan besar dalam mengarusperdanakan perjuangan ke arah pilihan raya yang adil menerusi himpunan aman yang dianjurkannya.

Ia berjaya mengubah sistem satu parti yang dominan kepada persaingan politik seperti yang dilihat sekarang.

Sementara Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin Abdullah adalah nama yang sering dikaitkan, kisah Thomas Fann - yang baru saja berundur dari jawatan pengerusi - juga terjalin bersama-sama perjalanan Bersih.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Fann mengimbas kembali tarikh 19 November 2016, ketika dia menjadi ketua untuk himpunan Bersih 5.0 apabila Maria ditangkap sehari sebelumnya.

Tangkapan itu menyebabkan Bersih tiada kepimpinan yang jelas. Fann kemudian mengambil tanggungjawab, dengan mengetuai operasi menerusi walkie-talkie dari tingkat 22 sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Destinasi asal perarakan peserta adalah Dataran Merdeka. Dengan jalan ke sana dihalang polis, Fann memutuskan untuk mengubah haluan bagi melepasinya.

Dia mengarahkan peserta di sekitar Masjid Negara dan lokasi-lokasi lain untuk menuju ke arah KLCC dan pusat bandaraya.

Ia merupakan himpunan besar terakhir yang dianjurkan Bersih menjelang PRU 2018 yang penuh bersejarah - dengan BN kali pertama tewas daripada tampuk pemerintahan.

Bermula di gereja

Sebelum melibatkan diri dalam gerakan masyarakat sivil, Fann adalah seorang paderi.

Berasal dari Johor Bahru, Fann, 62, berkata dia belajar jurusan perniagaan di UK namun ia terhenti di tengah jalan apabila bapanya meninggal dunia.

Sebagai anak sulung, dia yang ketika itu berusia 22 tahun pulang ke Malaysia untuk mengambil alih syarikat perladangan tersenarai awam milik keluarganya.

Selepas menguruskan perniagaan selama tiga tahun, Fann meletakkan jawatan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teologi dan kemudian menjadi paderi.

"Saya rasakan ia (perniagaan keluarga) bukan apa yang saya inginkan. Saya sentiasa ingin buat lebih berbanding untuk diri sendiri dan keluarga. Saya ingin buat sesuatu untuk masyarakat."

Thomas Fann

Fann kemudian memilih untuk menjadi paderi untuk berkhidmat kepada masyarakat dan membantu golongan miskin.

Pada 2000, dia diundang ke Filipina untuk melatih paderi tempatan, namun kemiskinan tegar di sana memberi kesan besar kepadanya dan menyebabkan dia melihat kembali punca di sebaliknya.

"Saya melihat kemiskinan yang sebenar-benarnya. Orang dan anak-anak kecil di jalanan tanpa hak dan pengenalan diri.

"Dan dalam beberapa kes, mereka tiada nama atau nama keluarga dan mencari makanan di longgokan sampah.

"Jadi saya mula mempersoalkan dengan lebih mendalam. Kenapa? Bagaimana manusia boleh ada dalam keadaan ini? Saya amat berduka dengan apa yang dilihat dan mula bertanya apa yang saya boleh lakukan.

"Oleh kerana itu, beberapa tahun kemudian, saya mula berminat dengan politik."

Fann percaya punca masalah itu adalah bersifat politik dan dia lebih berminat kepada akar punca berbanding gejala yang disebabkannya.

"Saya boleh melibatkan diri lebih lagi dengan memberi makanan kepada orang miskin, raih dana dan bantu mereka di jalanan. Tetapi saya lebih berminat pada soalan mengapa mereka akhirnya menjadi gelandangan. Mengapa mereka jadi miskin?

"Justeru saya sedar kepentingan politik. Jika anda benar-benar mahu selesaikan punca masalah di negara ini, anda tidak dapat tidak berminat dalam politik," katanya sambil menambah Mahatma Gandhi, Nelson Mandela dan Martin Luther King Jr sebagi sumber aspirasinya.

Di Pudu, Bersih 2.0

Menurut Fann, tsunami politik pada 2008 - yang menyaksikan BN kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga, beberapa bulan selepas himpunan pertama Bersih - memberi harapan kepadanya perubahan boleh berlaku.

Susulan itu, dia dan beberapa lagi mengasaskan Johor People Action Group (JPAG).

Katanya, dalam masa dua tahun, JPAG berjaya membantu mendaftarkan kira-kira 25,000 pengundi baru.

"Dalam proses itu, saya juga melihat sendiri ketidakadilan pilihan raya. Ramai yang rasa sukar walau untuk menjadi pengundi.

"Saya juga faham bagaimana sempadan pilihan raya kita ditetapkan yang tidak adil untuk kumpulan masyarakat tertentu. Saya pun mula memberi syarahan berkenaan reformasi pilihan raya," katanya.

Fann berkata berbeza dengan kalangan yang terlibat dalam gerakan hak asasi pada era 1980-an dan 1990-an, dia bermula lambat dalam dunia aktivisme sosial.

"Bersih 2.0 adalah protes pertama yang saya sertai. Jadi saya bukan aktivis hak asasi veteran dari 1990-an atau 1980-an.

"Saya boleh katakan kelahiran saya sebagai aktivis adalah di jalan di Pudu ketika Bersih 2.0.

"Saya lihat gas pemedih mata dan cara pihak berkuasa - yang diwakili polis - kasar dengan rakyat biasa, pakcik dan makcik, saya lihat betapa kasar dan biadabnya mereka. Itu benar-benar membangkitkan kemarahan saya.

"Dan di jalan raya di Pudu, saya buat keputusan yang saya nak lakukan perubahan."

Susulan itu, dia memilih Bersih apabila merasakan kekuatannya lebih sesuai dalam gerakan masyarakat sivil berbanding politik.

"Saya seorang pemimpin dan juga penganjur yang bagus. Saya sangat jelas dan boleh menguruskan dan memberi semangat kepada orang dengan baik.

"Ketika itu saya merasakan bidang yang paling tidak dikembangkan adalah masyarakat sivil. Dan Bersih mula memobilisasi orang ramai."

Jika Bersih 2.0 menjadi himpunan pertamanya, dia menjadi penganjur untuk himpunan Bersih 3.0 di Johor pada 2012. Bagi dua himpunan selepas itu, dia bertanggungjawab sebagai komander.

Terluka selepas ditolak

Pada 2018, dia dipilih sebagai pengerusi Bersih. Pada tahun ini, walaupun tidak dicabar dalam pemilihan, dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan.

Dia berkata berdasarkan keputusan pemilihan, visi dan hala tuju yang ditetapkannya untuk Bersih sebagai institusi rakyat telah ditolak dan penolakan itu melukakannya.

"Sejujurnya saya terluka. Kami bekerja begitu kuat dalam lima tahun ini, malah ketika penularan Covid-19.

"Jadi memang terluka apabila ditolak. Tetapi saya cepat-cepat beritahu diri sendiri, apa yang lebih penting adalah untuk Bersih diteruskan dan kita terus menyokongnya," katanya lagi.

Fann percaya sebab di sebalik penolakan terhadap hala tujunya adalah dia tidak diberi ruang untuk menjelaskannya, berbeza dengan debat antara dua calon pengerusi, iaiatu bekas presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz dan aktivis P Gopalan-Krishnan, baru-baru ini.

"Namun strategi pihak sana adalah untuk tidak cabar saya. Jadi saya tak dapat pertahankan diri saya," dakwanya.

Selain itu, dia juga merasakan penyokong Bersih masih berada dalam nostalgia himpunan di jalan raya dan itu juga menjadi satu lagi faktor ahli menolak hala tuju baru yang ditetapkannya.

"Mereka agak nostalgik dengan era protes, begitu juga dengan saya. Saya lahir dari protes tetapi saya rasa musim sudah berubah. Ini tentang menyedari musim (sekarang) dan ambil pendekatan yang betul untuk berdepan cabaran.

"Saya rasa mereka tidak faham kerana mereka fikir kami masih lagi satu gerakan sosial. Tidak, Bersih bukan lagi gerakan sosial," katanya lagi.

Tekanan untuk protes Langkah Sheraton

Fann mendedahkan ketika Langkah Sheraton dan pengisytiharan darurat oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin, ramai merasakan Bersih patut turun ke jalan raya untuk menyuarakan bantahan.

"Banyak tekanan terhadap saya untuk buat Bersih 6. NGO yang menyokong, masyarakat sivil, ramai yang mahukannya.

"Tapi saya tahu ia perlu dipertimbang dengan cermat kerana rasional di sebalik langkah menumbangkan pentadbiran PN adalah penubuhan kerajaan perpaduan Melayu."

Justeru, katanya, jika himpunan dibuat, ia boleh mencetuskan isu perkauman.

Oleh itu, dia berkata Bersih mencadangkan strategi alternatif, iaitu Persetujuan Keyakinan dan Pembekalan (CSA) antara kerajaan dengan pembangkang.

Katanya walaupun ia tidak berlaku ketika pentadbiran Muhyiddin, ia termeterai ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

"Saya masih tidak menolak penganjuran himpunan jalan raya kerana ia sebahagian daripada rukun demokrasi. Rakyat ada hak untuk mengadakan protes aman.

"Protes yang baik menyatukan semua segmen masyarakat, merentsai kaum dan sosioekonomi. Akhirnya, apa yang ingin kita lihat adalah reformasi sebenar - pilihan raya dan juga institusi.

"Itu sentiasa menjadi matlamat Bersih, bukannya perubahan kerajaan," katanya lagi.

[Baca berita asal]