Hari cuti pun mak-mak nak hantar anak ke Taska?
Ruang maya sejak beberapa hari lepas dipanaskan dengan debat berkaitan keperluan masa sendiri atau “me time” untuk golongan ibu.
Ia bermula apabila seorang wanita mempersoalkan rasa sedihnya dengan sesetengah ibu yang tetap menghantar anak ke taman asuhan kanak-kanak (Taska) walaupun hari cuti.
“Weh benda ni real (benar-benar berlaku). Sedih gila aku tengok ada mak yang hantar anak pergi Taska walaupun hari itu dia cuti.
“Sebabnya dia kata dia malas nak layan dan nak ambil waktu cuti ini untuk relax (rehat). Kesian gila,” tulis seorang wanita.
Bagaimanapun, kritikan itu tidak dapat diterima oleh semua orang.
Ramai yang tampil mempertahankan keperluan seorang ibu meluangkan masa untuk diri sendiri antaranya demi kesihatan mental, berehat dan memperbaiki hubungan dengan suami.
“Terpaling sedihlah tu. Mak-mak bekerja ini pun perlukan rehat juga. Hari biasa kerja, balik uruskan rumah pula dan anak-anak.
“Nak rehat sikit pun kena judge (dihakimi),” bidas seorang pengguna X.
Persoalannya, sejauh mana “me time” ini diperlukan dan apa sebenarnya yang dirasai oleh kaum Hawa yang membesarkan anak-anak mereka?
Kisah Anis Zainnul
Menurut seorang suri rumah suri rumah sepenuh masa Anis Zainnul (bukan nama sebenar), dia menghantar anaknya ke pusat jagaan untuk membolehkannya berehat.
“Saya hantar anak sebab nak bagi dia berkawan dengan orang dan belajar bawa diri.
“Saya pula, itu ruang untuk diri saya,” kata ibu 32 tahun itu kepada Malaysiakini pada Jumaat.
Ibu kepada seorang cahaya mata berumur empat tahun juga berkata, ada ketikanya dia berasa penat melayan kerenah anak.
“Akan ada satu tahap kita akan mula marah anak sebab dah penat. Tak bagus untuk mental ibu dan anak.
“Lepas hantar anak, pergi berjoging. Sekitar pukul 11 pagi sampai rumah dan selepas asar keluar mengambil anak semula,” sambungnya lagi.
Anis yang tinggal di Lembah Klang menghantar anaknya ke Taska tiga hari seminggu.
Kisah Idayu
Sementara itu, seorang ibu bekerjaya yang hanya mahu hendak dikenali sebagai Idayu turut berkongsi kisahnya dengan portal berita ini.
Wanita 36 tahun itu berkata dia melihat banyak kebaikan menghantar anak ke taska, termasuk mendedahkannya mereka kepada aktiviti sosial, komunikasi dan memberikan pendidikan awal dalam persekitaran selamat.
Tambah wanita Melayu itu juga, dia dapat memperkenalkan anaknya kepada Bahasa Mandarin.
“Semasa anak di pusat jagaan, saya akan ambil masa untuk makan, membeli barang keperluan dan mengemas rumah atau minum di kedai kopi,” katanya.
Jika hari tidak bekerja, dia akan menghantar anak-anaknya pada pukul 10 pagi hingga empat petang manakala pada hari bekerja pula pukul lapan pagi hingga enam petang.
Penjawat awam di Pulau Pinang itu juga berkata kesihatan mentalnya bertambah baik kerana dapat mengambil peluang berehat.
“Saya rasa lega sebab kerja saya pun banyak. Bila boleh tidur ini bagi saya dah bagus sangat dah,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun ibu kepada dua orang cahaya mata itu tidak selalu menghantar anaknya ketika hari dia tidak bekerja.
Katanya, dia hanya berbuat demikian sekali saja dalam tempoh tiga bulan.
Kisah Nur Shahirah Abdullah
Sementara itu, seorang ibu muda Nur Shahirah Abdullah berkata menghantar anak ke pusat jagaan sangat membantu daripada sudut kestabilan mental.
Walaupun menjadi suri rumah sepenuh masa, wanita 28 tahun yang menetap di Bayern, Jerman itu menghantar anaknya ke pusat jagaan pada pukul tujuh pagi hingga 12 tengah hari.
“Bila saya hantar dia, saya boleh uruskan kerja rumah. Adalah sedikit.
“Sebab bila hantar dia, saya memang fokus dekat penjagaan diri sahaja.
“Saya bersenam, buat sarapan dan membaca buku,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga akan melakukan kerja rumah bersama anaknya untuk mendidik dan mengeratkan hubungan mereka.
“Kerja rumah seperti membasuh baju dan mengemas dapur semua saya akan buat bila anak saya balik rumah jadi kami boleh buat sama-sama.
“Kanak-kanak suka rasa dilibatkan dalam aktiviti seharian.
“Secara fizikalnya, saya rasa bertambah baik sebab saya ada masa untuk bersenam dan menjaga diri,” tambahnya lagi.
Pembaca lain yang ingin berkongsi pendapat atau cerita masing-masing berkaitan isu ini dipersilakan menghantar e-mel kepada [email protected] untuk pertimbangan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai