Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Aktivis kesatuan sekerja akui terkejut dilantik jadi pegawai menteri

Gerakan kesatuan sekerja di Malaysia teruja dan optimis dalam memperkuatkan hak-hak pekerja susulan pelantikan ahli kesatuan sekerja sebagai salah seorang pegawai kepada Menteri Sumber Manusia yang baru, Steven Sim.

Bagaimanapun, Chee Yeeh Ceeu, 38 tetap menyatakan komitmen terhadap golongan pekerja dan dalam masa sama akan mengekalkan sikap berkecuali dalam memegang peranan baru itu dengan penuh etika.

“Ia satu kejutan kepada saya,” katanya kepada Malaysiakini sambil menambah pelantikan itu merupakan pengiktirafan terhadap kesatuan sekerja selepas bertahun-tahun.

Ahli Majlis Am MTUC dan bendahari agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank Malaysia (NUBE) itu akan melepaskan kedua-dua jawatannya untuk menjawat jawatan sepenuh masa sebagai pegawai Tugas-tugas Khas kepada Sim.

“Tanggungjawab saya akan meluaskan penyertaan kesatuan sekerja dalam penggubalan dasar, memastikan ia tidak terhad kepada segelintir sahaja tetapi melibatkan bilangan kesatuan sekerja yang lebih besar.

“Perkara paling penting dalam fikiran saya adalah untuk terus melakukan yang terbaik untuk pekerja.

“Menteri (Sim) telah mengingatkan saya tentang keperluan untuk kekal berkecuali, satu amalan yang saya ikuti selama 15 tahun sebagai ahli dan pemimpin kesatuan sekerja apabila menangani aduan majikan terhadap ahli kesatuan sekerja,” kata Chee.

Tiada ancaman terhadap majikan

Chee berkata majikan harus melihat pelantikannya secara positif sebagai individu yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam berinteraksi dengan majikan dan bukannya seseorang yang bersekutu dengan mana-mana kesatuan sekerja.

Susulan pelantikan tersebut, Chee dihujani dengan ucapan tahniah, selain diingatkan mengenai isu-isu penting oleh mereka yang memberikan ucapan.

Namun peranan baru tersebut melangkaui skop kesatuan pekerja dan Chee perlu mengambil masa untuk meneliti perkara tersebut dalam memastikan tindakan berkesan kepada semua pihak.

Dalam satu kenyataan, Sim menegaskan pelantikan aktivis kesatuan sekerja sebagai pegawainya menunjukkan komitmennya terhadap golongan pekerja.

“Pelantikan ini membuka pintu kepada peningkatan penyertaan pekerja dalam penggubalan dasar di peringkat menteri,” kata Sim.

Chee menyifatkan Sim seorang yang berpekerti mulia apabila memberikan sokongan kepadanya ketika dia memperjuangkan hak cuti bersalin selama 90 hari bagi pekerja wanita di Pulau Pinang pada 2018.

"Pada tahun 2010, NUBE berjaya memasukkan klausa ini ke dalam perjanjian kolektifnya.

"Kami tidak rapat kerana beliau mempunyai kerja politiknya dan saya kerja kesatuan saya, tetapi beliau sentiasa menyokong isu-isu pekerja," kata Chee.

Perubahan berani menteri

Presiden Union Network International-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) Mohamed Shafie BP Mammal berkata pelantikan Chee adalah petanda jelas bahawa Sim adalah menteri yang berani membuat perubahan.

"Biasanya menteri melantik pembantu mereka dari lingkungan politik masing-masing, tetapi kita melihat Sim buat pilihan bijak untuk melantik seorang ahli kesatuan dalam menjaga kepentingan pekerja," kata Shafie.

Shafie yakin pengalaman Chee akan memberikan sisi pandang yang jelas kepada menteri mengenai isu-isu kesatuan pekerja seperti pindaan kepada Akta Kesatuan Sekerja 1959, yang menimbulkan kontroversi dalam komuniti kesatuan pekerja baru-baru ini.

"Pindaan-pindaan itu mungkin telah diluluskan di Parlimen, tetapi masih ada ruang untuk interpretasi dan aplikasi yang tepat bagi pindaan-pindaan tersebut," kata Shafie.

Sementara itu, pemimpin kesatuan pekerja lain juga menyatakan pendapat positif berhubung pelantikan Chee.

Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani melihat pelantikan itu sebagai penghormatan kepada gerakan kesatuan pekerja ketika dasar pekerja termasuk struktur upah sedang berubah.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam dan Sivil (Cuepacs), Dr Adnan Mat pula melihatnya sebagai lambang keterbukaan menteri untuk membina hubungan dan mendengar secara langsung dari akar umbi.

Sementara itu Setiausaha MTUC Pulau Pinang K Veeriah berkata langkah itu menujukkan komitmen menteri terhadap perjuangan kelas pekerja dan jangkaan dia akan memenuhi tanggungjawab tersebut.