Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Amang seksual remaja lelaki: Buruh dipenjara 8 tahun, dua sebatan

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki pada September dan Oktober lepas.

Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu selepas Che Wan Mohd Fadil Che Noh, 34, mengaku bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur 15 tahun enam bulan di dalam sebuah bilik sebuah rumah di Pasir Puteh pada 2 pagi 26 Sept lepas dan 3 pagi 10 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat kerana kesalahan dilakukan terhadap seorang kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi daripada perkara-perkara seperti itu.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap, 14 Dis lalu.

Sementara itu, di Petaling Jaya, seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuannya, dua bulan lepas.

Remaja berusia 17 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang berumur 17 tahun satu bulan, bagi tujuan seksual di sebuah kediaman di Jalan Gasing Seksyen 5 di sini pada 3 pagi, 15 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, prosiding hari ini dijalankan secara tertutup kerana melibatkan pesalah kanak-kanak bawah umur.

Majistret Farah Azura Mohd Saad kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Feb depan untuk sebutan kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala remaja itu diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

- Bernama