Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Prasarana diarah kemuka laporan kebakaran tayar monorel

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) diarah supaya mengemukakan laporan penuh berhubung insiden tayar monorel terbakar dan terjatuh di atas jalan raya di laluan Stesen Monorel Titiwangsa pada Selasa lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau difahamkan Prasarana kini sedang giat menjalankan siasatan dan laporan lengkap berhubung kejadian itu akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

“Kita memandang serius berhubung perkara ini dan punca kejadian mesti diselidik,” katanya pada sidang media di Stesen MRT Stadium Kajang di Kajang hari ini.

Dalam kejadian di laluan Stesen Monorel Titiwangsa, di sini Selasa lepas, pengguna jalan raya yang melalui Jalan Tun Razak cemas apabila tayar monorel terbakar sebelum terjatuh di atas jalan raya.

Bagaimanapun insiden yang berlaku kira-kira 12.57 tengah hari itu, tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan penumpang dan pengguna jalan raya selain tidak mengganggu operasi monerel pada hari kejadian.

Terdahulu, Loke merasmikan projek rintis koc wanita bagi perkhidmatan MRT laluan Kajang di Stesen MRT Bandar Tun Hussien Onn, Cheras sebelum dibawa menaiki MRT untuk untuk meninjau pelaksanaan koc wanita itu.

Sementara itu, Loke turut memberi jaminan kementerian dan Prasarana akan menambah baik infrastruktur perkhidmatan pengangkutan awam terbabit termasuk dalam soal penyelenggaraan kenderaan dan stesen Monorel.

“Ketika ini semua pintu di platform di stesen monorel tidak berfungsi dan masalah itu dikesan berlaku sejak beberapa tahun lalu kerana sistem sedia ada tidak dapat diintergrasikan. Sehubungan itu Prasarana telah diminta untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata masalah itu terjadi akibat kontraktor asal sistem berkenaan yang sudah tidak beroperasi, namun permasalahan itu dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat 2024.

- Bernama