Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Yogeswary anda berhak terima pingat ini, titah Agong

"Anda berhak menerimanya," demikian titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada R Yogeswary membuatkan pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu tersenyum lebar dan semakin bersemangat membantu mereka yang memerlukan.

Apatah lagi titah itu disampaikan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah kepadanya yang menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara hari ini.

Bagaimanapun, hanya ucapan terima kasih berkali-kali yang mampu diucapkan kepada Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimumah Iskandariah dalam pertemuan singkat sejurus istiadat itu selesai di Balairung Seri.

“Saya tak sangka hari ini saya boleh menjejakkan kaki ke Istana Negara dan bertemu sendiri Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri malah pegawai Istana memberitahu Seri Paduka sendiri nak jumpa saya sekejap dan ambil gambar bersama-sama,” katanya dalam nada sebak ketika menceritakan momen indah itu kepada Bernama.



Yogeswary, 44, yang tular di media sosial kerana sering membantu pesakit dan pelawat di parkir hospital, adalah antara 298 penerima pada istiadat berkenaan yang diadakan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Memilih persalinan kebaya hitam pada hari yang disifatkan sebagai paling istimewa sepanjang hidupnya, Yogeswary hadir dengan ditemani kakaknya, R Rajeswary, 48, seorang guru tadika.

Yogeswary berkata beliau ikhlas menghulurkan segala khidmat dan bantuan meskipun ia bukan kerja hakiki seorang pengawal keselamatan.

"Di hospital, banyak pesakit yang mendapatkan rawatan berada dalam keadaan yang sedih, begitu juga ahli keluarga mereka, sebab itu saya sentiasa ingin memberikan layanan yang baik kerana itulah sekecil-kecil pertolongan yang boleh saya berikan.

"Saya tidak akan berhenti untuk membantu masyarakat, selagi saya sihat dan mempunyai tenaga, saya pasti akan usaha sedaya upaya untuk membantu orang ramai," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Gerik itu juga tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan pingat berkenaan selain orang ramai, majikan dan keluarganya atas sokongan berterusan diterimanya selama ini.

Yogeswary, yang sebelum ini bertugas di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, telah ditempatkan di Kompleks Rawatan Harian sejak enam bulan lepas.

Kisahnya yang sering membantu pesakit atau pelawat hospital tular di media sosial sehingga meraih perhatian Menteri Kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa yang memuji tindakan Yogeswary serta menzahirkan penghargaan kepada wanita itu dalam hantaran di laman Facebook.

Antara bantuan yang dihulur Yogeswary ialah mengangkat barang, mengawal lalu lintas dan menenangkan pesakit dalam keadaan cemas selain mengucapkan tahniah kepada ibu baru bersalin.

Sementara itu di media sosial, warganet turut mengucapkan tahniah kepada wanita itu.

"Semoga yang lain teladani sifat ini, berbuat baiklah kepada orang lain," tulis pengguna Instagram lala_walid.

- Bernama