T'ganu akan perbanyak program pelancongan di musim tengkujuh
Kerajaan Terengganu akan memperbanyakkan program pelancongan pada musim tengkujuh antara November hingga Mac, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Razali Idris.
Razali dipetik Bernama berkata jumlah kedatangan pelancong yang menurun pada musim tengkujuh disebabkan persepsi negatif daripada masyarakat luar.
"Musim tengkujuh masih lagi digambarkan sebagai waktu yang tidak sesuai untuk melancong ke Terengganu kerana pulau dan tempat peranginan ditutup.
"Persepsi ini salah kerana kita masih banyak produk pelancongan yang boleh ditawarkan termasuk pakej main hujan di Setiu Wetland, Rainforest Challenge, Monsoon Ride dan macam-macam lagi," katanya selepas majlis penyampaian hadiah International Monsoon Casting Tournament (IMCT) 2023 di Kenyir Pengkalan Gawi, semalam.
Sasar 4.5 juta pelancong tahun depan
Seramai 250 pemancing dari Malaysia, China, Jepun, Singapura, Thailand dan Indonesia menyertai pertandingan IMCT selama empat hari bermula 15 Dis lepas.
Dalam pada itu, Razali berkata kerajaan Terengganu menyasarkan kedatangan 4.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan.
Menurutnya, sasaran dapat dicapai berdasarkan jumlah kedatangan pelancong tahun ini yang telah melebihi 3.5 juta orang.
“Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai promosi akan dijalankan di dalam dan luar negara termasuk Eropah dan Timur Tengah yang merupakan fokus pelancongan baru.
"Kita yakin tahun depan ekonomi dunia akan bertambah baik…dan kerajaan negeri dah mula (promosi) daripada sekarang,” katanya.
Jelas Razali, promosi telah dibuat di Eropah dan China dan akan diteruskan ke Timur Tengah pada tahun depan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai