Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

'Salur peruntukan melalui wakil rakyat, bukan penyelaras DUN'

Selepas kira-kira tujuh bulan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Sultan Abdullah bertitah agar peruntukan yang adil turut diberi kepada wakil rakyat pembangkang, kerajaan negeri nampaknya masih belum melaksanakannya.

Tengku Hassanal bertitah demikian ketika istiadat pembukaan sidang DUN Pahang pada Mei lalu.

Bendahari PAS Pahang Shahril Azman Abd Halim berkata, kegagalan kerajaan negeri melalui menteri besar, Wan Rosdy Wan Ismail (gambar) mematuhi titah Pemangku Raja Pahang itu adalah sangat dikesali.

"Ia sekali gus menunjukkan betapa kerasnya hati MB (Wan Rosdy) dan tidak menghormati titah oleh Pemangku Raja Pahang.

"Saya ada terlihat rakaman video ucapan dia (Wan Rosdy) yang mengatakan kalau tidak ada peruntukan, bertanding buat apa.

"Jadi, sekarang apa masalahnya dengan sistem demokrasi? Siapa pun boleh bertanding dan bila menang, hormatilah pilihan dibuat rakyat.

"Ini tidak, peruntukan disalurkan kepada penyelaras DUN yang kalah dan ditolak oleh majoriti rakyat dalam proses pilihan raya.

"Bukankah sepatutnya peruntukan itu diberikan kepada wakil rakyat yang menang, yang dipilih oleh rakyat sesuatu kawasan itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Dia turut memberi contoh menteri besar Kedah, Kelantan dan Perlis yang menurutnya memberikan peruntukan secara adil kepada pembangkang di negeri berkenaan.

Bebankan kerajaan negeri

Bahkan katanya, menteri besar Perak juga memberikan peruntukan kepada 26 Adun pembangkang di negeri itu, termasuk bonus.

Shahril Azman yang juga Adun Jengka turut mempersoalkan mengenai keperluan “mencipta” jawatan penyelaras DUN di kawasan yang Umno tewas.

Katanya, pelantikan itu hanya menambah beban kewangan kepada kerajaan Pahang.

"Penyelaras DUN ini diwujudkan untuk tujuan apa? adakah untuk menjaga air muka pemimpin Umno yang kalah dalam PRU15 lalu?

"Rakyat di kawasan saya atau 17 lagi kawasan DUN di Pahang akan jumpa dengan kami bila ada masalah, bukannya pergi jumpa penyelaras DUN.

"Tapi peruntukan diberikan kepada mereka (penyelaras DUN), kami tak dapat apa-apa (peruntukan)," katanya lagi.

Untuk rekod Perikatan Nasional (PN) Pahang mempunyai 17 kerusi DUN selepas PRU15.

Manakala kerajaan Pahang pula dapat ditubuhkan melalui majoriti mudah selepas Umno-BN bekerjasama dengan PH.

Shahril Azman turut menafikan Umno-BN Pahang 'tewas teruk' pada PRU15 disebabkan persepsi dimainkan oleh pembangkang.

"Buat apa kita nak mainkan persepsi sedangkan mereka sendiri yang mencipta persepsi buruk itu.

"Umno-BN perlu sedar, persepsi dalam kalangan rakyat ketika ini adalah rakyat nampak bahawa Umno sudah bekerjasama dengan DAP.

"Rakyat boleh lihat Umno sudah boleh terima DAP yang agendanya 'Malaysian Malaysia' dan menjadikan 'Malaysia negara sekular'.

"Ini punca mereka 'tewas' di Pahang dan kita bersama rakyat akan pastikan Umno-BN, Kerajaan Perpaduan Pahang akan tewas dalam PRU16," katanya.