Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Mangsa lemas sempat senyum sebelum tenggelam

"Dia sempat senyum kat kami sebelum tenggelam dan hilang dibawa arus."

Itu antara perkara terakhir diceritakan seorang daripada enam rakan Muhammad Amirul Haikal Che Jaapa yang dipercayai lemas ketika mandi di tali air dekat perkampungan Indera Sempurna, Kuantan, di Pahang petang semalam.

Muhammad Emil Zakuan Mazri, 14, turut memberitahu dia dan rakan lain cuba membantu Haikal, namun gagal berikutan arus terlalu deras.

"Kami cuma sempat mandi seminit saja di situ kerana air terlalu dalam... kemudian Haikal tergelincir sebelum dibawa ke tengah kolam (tali air).

"Saya terjun cuba selamatkan dia, tapi dia tolak tangan saya, masa itu tangan dia dah terkapai-kapai.

"Kami kemudian cuba mengejar dia melalui tebing tali air, dalam 200 meter juga sebelum dia tenggelam dekat pokok besar dan tak timbul-timbul dah," kata Muhammad Emil lagi.

MUhammad Emil Zakuan

Dia mengakui sangat menyesal dengan kejadian menimpa kawan baiknya itu dan berharap Haikal ditemui segera.

Dalam kejadian petang semalam, keseronokan sekumpulan pelajar apabila cuti sekolah bermula bertukar tragis apabila seorang daripada mereka hilang ketika mandi-manda dalam tali air di Indera Sempurna.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata ketika kejadian ada enam remaja sedang mandi sebelum seorang daripadanya dilaporkan hilang.

Katanya polis mendapat laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 14 tahun itu kira-kira jam 3.50 petang.

Che Jaapa Che Endut

Bapa mangsa, Che Jaapa Che Endut, 62, ketika ditemui berhampiran lokasi pencarian pula berkata, anak bongsunya itu memang tidak pandai berenang.

"Dari dulu lagi saya dah pesan jangan mandi sungai sebab saya tahu, dia memang tak pandai berenang.

"Saya pun tak jangka dia akan ke sini dengan kawan-kawan dia untuk mandi sebab semalam masa nak pergi solat Jumaat, dia masih tidur.

"Cuma biasanya dia keluar dengan kawan untuk main bola sekitar pukul 5 petang, tapi semalam dia keluar awal, dalam pukul 3 petang lebih dah keluar, jadi saya rasa tak sedap hatilah," katanya.

Dia bagaimanapun reda dengan kejadian itu dan berharap Haikal ditemui dalam masa terdekat.

"Saya redalah dengan kejadian ini, saya reda kerana Tuhan dah bagi 'pinjam' dia untuk bersama kami selama 14 tahun.

"Jadi, saya cuma harap dapat jumpa dia, tak kiralah macam mana keadaan, kalau boleh jumpa segera," katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu, Pengarah Bomba Pahang, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa ketika ditemui media di lokasi mengulangi nasihat kepada ibu bapa supaya sentiasa peka dengan keselamatan anak mereka.

"Sekarang dah musim Monsun Timur Laut, hujan dan cuaca tak menentu, jadi saya ingatkan kepada semua (ibu bapa) untuk pantau anak mereka.

"Elakkan daripada bermain air atau aktiviti berdekatan kawasan air,tambahan lagi jika anak kita tak tahu berenang," katanya.

Dia turut memaklumkan operasi mencari dan menyelamat yang disambung pagi ini turut membabitkan unit anjing pengesan bomba Pahang serta dibantu pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

Selain itu, unit selam skuba bomba Pahang turut melakukan selaman di beberapa lokasi sepanjang tali air berkenaan.

"Bagi operasi pagi ini, separuh hari kita tumpu di kawasan kira-kira 3 kilometer - dari tali air perkampungan Indera Sempurna hingga ke persimpangan Sungai Belat.

"Jika gagal menemui petunjuk, kita akan perluaskan pencarian ke Sungai Belat dan kita harap dengan keadaan cuaca yang agak baik hari ini, kita akan menemui mangsa," katanya.