Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pelajar dikhuatiri lemas ketika mandi di tali air

Baru beberapa jam cuti sekolah bermula, keseronokan sekumpulan pelajar bertukar tragis apabila seorang daripada mereka hilang ketika mandi-manda dalam tali air di Indera Sempurna, dekat Kuantan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata ketika kejadian ada enam remaja sedang mandi sebelum seorang daripadanya dilaporkan hilang.

Katanya polis mendapat laporan mengenai kejadian membabitkan mangsa berusia 14 tahun itu kira-kira jam 3.50 petang.

"Pasukan polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas menerima laporan.

"Berdasarkan maklumat awal, mangsa ialah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau.

"Mangsa dikenali sebagai Mohamad Amirul Haikal Che Jaafar dan merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik," katanya.

Tambah Wan Mohd Zahari, bapa pelajar terbabit merupakan pesara Jabatan Penjara Malaysia dan keluarga itu menetap di Taman Indera Sempurna.

Dia memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan sebaik semua maklumat diperoleh dan ia melibatkan anggota bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain dibantu penduduk setempat.

"Sehingga lewat petang tadi, mangsa masih belum dapat dikesan dan operasi SAR akan disambung sekitar jam 8 pagi esok," katanya.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang memaklumkan tiga jentera bersama 11 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Kuantan, terbabit dalam operasi petang tadi.

"Pemantauan di sekitar lokasi kejadian dilakukan pegawai dan anggota kami, termasuk melakukan pencarian di permukaan sepanjang tali air berkenaan.

"Operasi SAR akan diteruskan pagi esok dan kami akan meminta bantuan pasukan penyelamat di air (PPDA) bomba Pahang untuk melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan lemas," katanya.