Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Wahab akan heret Chegubard ke mahkamah

Nota: Laporan ini dikemas kini selepas penjelasan lanjut daripada peguam yang mewakili Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani ditetapkan untuk mengheret ahli jawatankuasa penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) ke mahkamah atas dakwaan fitnah.

Peguam Wahab, Faizal Rahman hari ini berkata Badrul gagal mematuhi tempoh 48 jam untuk permohonan maaf dan pembayaran ganti rugi berhubung penyebaran video yang didakwa mengandungi perbualan lucah.

Bagaimanapun, Wahab masih meneliti jawapan pengarah latihan dan pendidikan J-Kom Hakim Ramlee terhadap surat tuntutan bekas itu.

Video itu didakwa menunjukkan individu yang kelihatan seperti bekas ketua pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab.

Faizal memberitahu Malaysiakini bahawa Abdul Wahab telah memutuskan untuk meneruskan saman fitnah kerana Chegubard didakwa tidak membalas surat tuntutan pegawai J-Kom itu.

Peguam itu berkata Abdul Wahab juga masih mempertimbangkan langkah seterusnya terhadap Hakim kerana masih meneliti jawapan balasnya terhadap surat tuntutan.

Faizal menambah bahawa mereka akan memfailkan saman fitnah terhadap Chegubard.

Malaysiakini cuba menghubungi Hakim dan Chegubard berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Abdul Wahab mengeluarkan surat tuntutan berhubung penyebaran video itu.

Sebelum ini, video perbualan dengan seorang lelaki mirip Mohammad Agus tular pada 17 Nov lalu.

Mohammad Agus susulan itu meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah J-Kom dan mendakwa video perbualan membabitkannya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, Wahab mendakwa dia dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Encik H.