Baja tahi ayam diproses selamat digunakan - Pensyarah kanan UUM
Penggunaan baja tinja ayam yang telah diproses dengan betul selamat digunakan untuk kegiatan pertanian dan tidak memudaratkan kesihatan.
Menurut pensyarah kanan Jabatan Ekonomi dan Perniagaan Tani di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Nur Adeelah Che Ahmad Tantowi, baja tinja ayam adalah sumber organik kerana diperbuat daripada bahan semula jadi.
“Sama seperti fungsi baja lain, (baja tinja ayam) untuk memberi nutrisi penting kepada tumbuhan,” katanya semasa dihubungi Malaysiakini.
Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu yang mengatakan kementerian itu tidak menggalakkan penggunaan baja tinja ayam secara meluas.
Mohamad berkata penggunaan baja tinja ayam berpotensi menyebabkan kelecuran sekiranya bersentuhan dengan tanaman, selain boleh menyebabkan jangkitan penyakit kepada manusia.
Ia susulan aduan peniaga gerai makanan di sekitar Parit Haji Aman dan Parit Haji Tahir di Bagan Serai berkenaan gangguan lalat dan pencemaran bau akibat penggunaan tinja ayam di sebuah kebun sayur yang diusahakan etnik Rohingya.
Mengulas lanjut, Adeelah berkata Mohamad mungkin merujuk kepada tinja ayam yang tidak diproses dengan betul untuk dijadikan baja.
“Mungkin tinja ayam yang dirujuk itu tidak diproses atau diproses tidak sempurna.
“Baja tinja ayam yang telah diproses tidak menarik lalat dan tidak akan melecur jika digunakan dengan cara yang betul,” katanya.
Nur Adeelah berkata baja tinja ayam yang dihasilkan secara komersial juga melalui beberapa proses rawatan dan tidak mempunyai bau yang kuat.
Bagaimanapun katanya, pemprosesan baja tinja ayam yang tidak mengikut prosedur yang betul mempunyai risiko dijangkiti patogen artau agen yang menyebabkan penyakit.
Justeru katanya terpulang kepada golongan petani atau pekebun untuk menggunakan baja tersebut, asalkan ia melalui proses pembuatan yang betul.
“Ada yang memilih sumber organik dan ada juga beranggapan negatif kerana dari sumber tinja ayam. Terpulang pilihan masing-masing," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai