‘Pak Lah pernah jadi menteri luar tetapi tetap popular dalam Umno’
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan Bersatu yang kononnya keputusan meletakkan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan di Kementerian Luar Negeri sebagai bertujuan untuk melemahkan pemimpin Umno itu.
Sebaliknya, kata Mohd Puad, yang ingin melemahkan serta membunuh Umno ialah Bersatu sewaktu memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah, dia mengingatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugur, Wan Saiful Wan Jan yang membuat dakwaan itu bahawa Mohamad ketika pentadbiran PN tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan oleh pentadbiran pimpinan Muhyiddin Yassin.
"Beberapa pemimpin pembangkang menunjukkan kedangkalan mereka terhadap barisan Kabinet baru. Wan Saiful tuduh Mad Hassan (Mohamad Hasan) disisihkan bila dilantik menteri luar negeri.
"Dia lupa masa Muhyiddin jadi perdana menteri Mad Hasan tidak diberi sebarang jawatan kabinet. Ia adalah usaha untuk melemahkan Umno.
"Sedangkan rombakan kabinet kali ini Umno dapat tambahan satu lagi menteri. Hampir semua pemimpin utama Umno dilantik menteri.
"Masa Muhyiddin, dia lantik menteri Umno tanpa perbincangan dan tidak menghormati hiraki Umno. Itu memang mahu memecah-belahkan Umno," katanya kepada Malaysiakini.
Wan Saiful mendakwa keputusan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melantik Mohamad sebagai menteri luar dalam rombakan kabinet semalam bertujuan untuk melemahkan kedudukannya dalam parti.
Menurut ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu, jawatan baru berkenaan memerlukan Mohamad untuk lebih kerap berada di luar negara, sekali gus membolehkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengukuhkan kedudukannya.
“Maka inilah juga yang Anwar lakukan untuk bantu Zahid Hamidi.
“Demi menyekat kemaraan Mohamad Hasan, maka Anwar hantar dia ke kementerian luar, iaitu sebuah kementerian yang penting untuk negara tapi tidak strategik.
“Kementerian luar tidak strategik bagi Mohamad kerana beliau akan terpaksa berada di luar negara untuk tempoh yang lama dan ini membuka ruang untuk Zahid terus mencatur sokongan untuk dirinya sendiri dalam Umno,” kata Wan Saiful.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata tidak timbul soal jawatan menteri luar akan memisahkan Mohamad dengan akar umbi, bahkan Abdullah Ahmad Badawi pernah menjadi menteri luar, tetap popular sehingga menjadi perdana menteri.
"Tidak timbul soal jadi menteri luar, maka Mad Hasan akan terpisah dari akar umbi. Pak Lah pernah jadi menteri luar. Dia tetap popular.
“Wan Saiful mungkin lupa Muhyiddin lantik (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang jadi penasihat ke Timur Tengah. Apa masalahnya.
"Umno menilai semua jawatan penting. Keutamaan Umno ialah performance. Dalam perjumpaan menteri-menteri Umno hari ini mereka komited untuk deliver dalam kerajaan perpaduan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai