Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri luar China, Iran bincang isu Gaza

Menteri luar China, Iran bincang isu GazaAhli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar Wang Yi mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Iran Amir Abdollahian pada Isnin, antara lain menumpukan kepada situasi di Gaza.

Beliau turut menegaskan pendirian China dalam isu konflik Palestin-Israel iaitu mewujudkan gencatan senjata secepat mungkin, memastikan bantuan kemanusiaan dan memulihkan "penyelesaian dua negara".

"Sebarang keputusan mengenai masa depan dan nasib Palestin harus berdasarkan kehendak rakyat Palestin, menghormati hak mereka dan mencerminkan prinsip "dimiliki, diterajui dan ditadbir rakyat Palestin," kata Wang.

Wang berkata China juga bersedia bersama Iran untuk melaksanakan persepakatan yang telah dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara dalam dua pertemuan yang berlangsung pada tahun ini.

Pada pertemuan itu pemimpin kedua-dua negara komited untuk mengukuhkan komunikasi, memupuk rasa saling percaya, meningkatkan kerjasama dan memperkasa penyelarasan di platform multilateral antarabangsa.

Selain itu, kedua-dua negara turut setuju untuk memelihara amalan multilateralisme yang sebenar, memperluas hubungan bilateral sekali gus mempertahankan kepentingan negara-negara membangun dan keadilan masyarakat antarabangsa.

Menurut Wang, China menyokong Iran dan Arab Saudi untuk terus memperbaiki hubungan bilateral dan menggalakkan kerjasama serta perpaduan antara satu sama lain supaya dapat memastikan keselamatan dan keamanan serantau terjamin.

Sementara itu, Amir Abdollahian berkata pihaknya menyokong Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang dicadangkan oleh China.

Beliau berharap China akan lebih aktif untuk membantu meredakan ketegangan dalam situasi di Semenanjung Gaza dan menyumbang kepada penyelesaian isu berkenaan demi keamanan dan kestabilan serantau.

- Bernama-CMG