‘Penculikan Koh sama cara putera Kelantan ditahan pada 2010’
Isteri kepada paderi Raymond Koh memberi keterangan bahawa kehilangan paksa suaminya pada 2017 adalah serupa dengan operasi polis 2010 yang menahan Putera Kelantan Tengkuu Muhammad Fakhry Petra.
Susanna Liew Sow Yoke memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam perbicaraan kes saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan Koh secara paksa.
Katanya, penculikan Koh menunjukkan ciri yang sama dengan insiden melibatkan kerabat diraja itu, dengan kehadiran berbilang kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pegawai polis berpakaian hitam memakai balaclava.
Liew berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penculikan suaminya menunjukkan persamaan yang ketara dengan kejadian yang melibatkan putera Kelantan itu.
“Ia menunjukkan modus operandi yang sama dalam operasi polis, yang melibatkan SUV memberhentikan kenderaan putera (Kelantan) sama seperti kenderaan suami saya diberhentikan.
“Ada juga sekumpulan lelaki berpakaian hitam, dengan balaclava mengelilingi kenderaan itu sama seperti penculikan suami saya.
“Salah seorang penculik masuk ke tempat duduk pemandu dan memandu kereta, sama seperti penculikan suami saya, dan seseorang sedang merakam video keseluruhan penculikan, sama seperti penculikan suami saya.
“Bagi saya, ia adalah jelas. Ini modus operandi yang sama dan saya percaya ia adalah anggota polis terlatih dan tersusun dengan akses kepada kenderaan jenis ini yang melakukan kedua-dua penculikan itu,” kata Liew ketika membandingkan rakaman CCTV penculikan Koh dengan rakaman video kejadian membabitkan putera Kelantan itu.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo ditetapkan untuk disambung petang ini serta Khamis minggu ini.
Pada 4 Mei 2010, polis menahan Fakhry ketika berada di dalam kereta di pintu pagar utama Istana Mahkota, Kubang Kerian dan menuju ke lapangan terbang.
Putera Kelantan itu kemudiannya menyaman polis atas dakwaan penahanan salah. Bagaimanapun, mahkamah sivil membatalkan saman itu pada 17 Okt 2014.
Dalam pada itu, Liew, 67, menyaman polis dan kerajaan untuk mendedahkan lokasi Koh, 68, yang diculik pada 13 Feb 2017.
Liew memulakan tindakan undang-undang itu, berikutan penemuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 3 April 2019, bahawa penculikan Koh merupakah kehilangan secara paksa yang melibatkan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Peguam Jerald Gomez mewakili Liew manakala peguam kanan persekutuan Nurul Farhana Khalid mewakili polis dan kerajaan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai