Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Sultanah Terengganu menang rayuan kes fitnah, dapat ganti rugi RM300,000

Pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain diperintahkan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi fitnah kepada Sultanah Terengganu Nur Zahirah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail turut memerintahkan Rewcastle-Brown dan dua yang lain membayar RM120,000 sebagai kos guaman kepada baginda.

Mahkamah Rayuan memutuskan Rewcastle-Brown memfitnah Sultanah Nur Zahirah menerusi buku ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Hakim lain yang bersidang sama adalah hakim Zaini Mazlan dan Azahari Kamal Ramli.

Dua responden yang lain itu adalah penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman baginda terhadap Rewcastle-Brown, Chong dan Vinlin Press berhubung dakwaan fitnah dalam buku tersebut.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 21 November 2018, dengan mendakwa kenyataan dalam buku itu antara lain bermaksud baginda terbabit rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Terengganu.

Selain itu, Sultanah Nur Zahirah dikatakan menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Baginda mendakwa kenyataan itu bermakna baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low menjadi penasihat TIA.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah meminta ganti rugi am RM100 juta daripada setiap responden dan perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah serta pencetak berhenti mencetak buku berkenaan.

[Baca berita penuh]