Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Surat pecat akan sampai tak lama lagi, kata Zahid pada Isham

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Isham Jalil akan menerima surat pemecatannya dalam masa terdekat.

Ia sekali gus mengesahkan bahawa bekas ketua penerangan Umno itu sah dipecat daripada Umno.

“Dia (Isham) akan terima surat. Dalam waktu paling singkat,” kata Zahid ringkas.

Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran MyNEXT dan Pertukaran Dokumen Memorandum (MoC) Transformasi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), sempena Karnival Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani, di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan setakat semalam tiga anggota MKT Umno yang hadir dalam mesyuarat pada Rabu mengesahkan bahawa Isham dipecat selepas lantang mengkritik kerjasama Umno dengan DAP.

Mereka bagaimanapun enggan nama masing-masing didedahkan.

Seorang anggota MKT berkata terdapat banyak kesalahan dilakukan Isham, antaranya mendesak Zahid berundur dan menggelar pemimpin Umno sebagai “barua DAP”.

Umno pula sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan perkara itu.

Respons awal Isham semalam turut berkata dia hanya menerima perkhabaran berhubung pemecatan keahliannya tanpa sebarang kenyataan rasmi termasuk surat rasmi dari Umno selain memaklumkan dia telah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT Umno.

Tikus baiki labu

Dalam pada itu, Zahid mengakui terdapat pihak dalam Umno sebelum ini yang cuba membaiki parti, namun katanya, mereka sebaliknya seperti tikus membaiki labu dan hanya menimbulkan masalah dalam parti.

“Kenyataan setiausaha agung Umno (Asyraf Wajdi Dusuki) itu ada kebenarannya kerana sejak 2018 kita telah menyaksikan pelbagai watak dalaman yang telah menjalankan kerja-kerja membaiki labu seperti tikus membaiki labu.

“Maka, apa yang sedang dilakukan oleh kepimpinan Umno, terutamannya majlis latihan dan kehadiran adalah untuk menyuntik latihan-latihan berbentuk baru bagi menyerap bukan hanya semangat tetapi rasa kerja sepasukan di kalangan kepimpinan dan ahli-ahli Umno,” katanya.

Asyraf hari ini dilaporkan berkata Umno yang berada dalam keadaan lemah terutama sebelum dan selepas pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu akan melakukan proses pemulihan dalam usaha mengukuh dan memperkasakan semula parti itu untuk terus memayungi orang Melayu dan mengangkat agenda Islam di negara ini.

Kata Asyraf, proses pemulihan itu mampu dilakukan dengan syarat, ia mesti dijayakan secara bersama antara semua pemimpin dalam parti tanpa sebarang perbalahan dalaman.

Menurutnya, proses itu termasuk membersihkan parti daripada duri dalam daging iaitu mereka yang menimbulkan masalah dalam parti.

Mengulas lanjut apakah tindakan itu nanti akan menjauhkan sokongan golongan muda sekali gus menyebabkan Umno dilihat tidak mengamalkan demokrasi, Zahid berkata dia meraikan perbezaan pendapat namun ia tidak harus sehingga mengecam dan merosakkan parti.

“Kita mahu tenaga muda yang berada di dalam sama ada Puteri Umno atau Pemuda Umno terus menyumbang dan kita juga telah membuka keahlian melalui permohonan atas keahlian dan kami tidak ada masalah dari segi mengatasi ahli-ahli muda dan ahli-ahli baru,” tambahnya.