Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Bekas DPP kes Zahid dilantik jadi pesuruhjaya kehakiman

Bekas timbalan pendakwa raya bagi kes rasuah Yayasan Akalbudi terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Raja Rozela Raja Toran menerima surat pelantikan daripada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman pada tengah hari ini.

Dia kemudian mengangkat sumpah di depan Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Dia sebelum ini memegang jawatan sebagai timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum bersara awal pada Oktober lalu.

Raja Rozela menyertai AGC pada 1991 dan mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes rasuah Yayasan Akalbudi terhadap Zahid.

Pada 4 September lalu, pihak pendakwaan - yang pada masa ini tidak lagi diketuainya - memohon untuk menggugurkan 47 pertuduhan terhadap presiden Umno itu.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk membebas tanpa melepaskan (DNAA) Zahid daripada kesemua pertuduhan itu.

Raja Rozela yang berasal dari Kuala Terengganu memilih untuk bersara awal pada Oktober lalu.

Wanita berusia 58 tahun lalu merupakan antara 10 orang yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman hari ini.

Di bawah sistem kehakiman Malaysia, pesuruhjaya kehakiman mempunyai kuasa untuk mendengar kes di Mahkamah Tinggi.

Berbeza dengan jawatan hakim yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, lantikan sebagai pesuruhjaya kehakiman adalah untuk tempoh selama dua tahun.

Bergantung kepada prestasinya, seorang pesuruhjaya kehakiman boleh dilantik sebagai hakim selepas tamat tempoh dua tahun itu.