Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Tersalah maklumat, berang tak dapat 'diskaun JPJ'

Acara sambutan ulang tahun pertama pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini bermula dengan buruk apabila beberapa hadirin tidak berpuas hati kerana tidak mendapat diskaun untuk saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terdapat 102 perkhidmatan kerajaan ditawarkan pada acara tiga hari itu, termasuk diskaun 50 peratus untuk denda lalu lintas yang dikeluarkan oleh polis.

Bagaimanapun, beberapa organisasi media tersalah lapor apabila mengatakan bahawa JPJ turut menawarkan diskaun pada majlis yag berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Ketika Malaysiakini melawat gerai JPJ kira-kira jam 11 pagi tadi, kira-kira 50 orang sedang beratur, hanya untuk mengetahui jabatan itu tidak menawarkan diskaun.

Jhoell Harriyson

Seorang individu yang menyatakan rasa kecewa, dikenali sebagai Jhoell Harriyson, mengadu bahawa pihak berkuasa sepatutnya memberitahu orang ramai tentang maklumat salah yang dilaporkan.

"Seminggu lalu, TV3 melaporkan bahawa JPJ akan memberikan diskaun semasa sambutan ulang tahun kerajaan Madani," kata Jhoell Harriyson kepada pegawai JPJ.

"Kenyataan ini disebarkan oleh TV3, dan orang ramai beratur selama dua jam di sini hanya untuk membayar denda JPJ. (Tetapi akhirnya) JPJ memaklumkan kenyataan ini tidak betul.

"Saya sangat kecewa dan marah. Sukar untuk mencari tempat letak kereta di luar, (tetapi saya masih) cuba datang ke sini untuk membayar saman," tambahnya.

Semakan Malaysiakini di kumpulan Whatsapp media Kementerian Pengangkutan mendapati ada makluman pada Ahad lalu mengenai maklumat salah yang dilaporkan media.

Pembantu kepada menteri pengangkutan menjelaskan bahawa JPJ tidak menawarkan diskaun dalam acara itu.

Nadia Nabilah

Seorang lagi pengunjung, Nadia Nabilah berkata dia cuba membayar denda bapanya selepas mengetahui akan ada diskaun untuk denda JPJ.

Bagaimanapun, sebaik tiba, dia dimaklumkan oleh pegawai JPJ bahawa tiada diskaun seperti itu ditawarkan.

Selepas itu, dia menunjukkan kepada media dua infografik, satu daripada TV3 dan satu lagi memaparkan logo "Program Ulang Tahun Satu Tahun Kerajaan Madani".

Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata dia memandu selama dua jam ke acara itu dan kecewa kerana tiada diskaun JPJ ditawarkan.

"Jika tiada diskaun, kami juga boleh membayarnya secara dalam talian. Jika tiada diskaun, buat apa perlu bersusah payah datang jauh-jauh ke sini?" katanya.

Pegawai JPJ yang berada di lokasi itu berjaya menenangkan dan menyuraikan orang ramai tanpa kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sebaliknya, pondok polis trafik menyaksikan barisan panjang sejak awal pagi. Sehingga jam 11 pagi, kira-kira 300 orang berada dalam barisan.

Kakitangan di gerai itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah mengedarkan sekitar 3,000 nombor giliran.

Disebabkan bilangan giliran yang banyak yang diedarkan, mereka memutuskan untuk berhenti membenarkan orang ramai memasuki gerai sekitar jam 11 pagi.

Akibatnya, hampir seratus orang berkumpul di luar gerai, masih berharap untuk mendapatkan nombor.