Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Pengharaman komik: Mahkamah arah k’jaan bayar RM51k kepada Hew

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan supaya kerajaan membayar ganti rugi RM51,000 kepada Hew Kuan Yau berhubung pengharaman ke atas buku komiknya "Inisiatif Belt and Road for Win-Winism".

Peguam bekas ahli DAP itu, Vince Tan mengesahkan bahawa mahkamah membuat perintah itu sebagai sebahagian daripada penilaian kerosakan dalam cabaran undang-undang terhadap pengharaman bukunya pada  2019.

Peguam itu berkata bahawa hakim Amarjeet Singh tidak memberikan alasan berhubung keputusan itu, sambil menambah bahawa semua pihak - baik Hew mahupun  kerajaan - mempunyai 30 hari bermula hari ini untuk memutuskan sama ada untuk merayu kepada Mahkamah Rayuan atau tidak berhubung pampasan itu.

Tan menambah bahawa mahkamah sivil tidak membenarkan tuntutan permohonan Hew yang digelar sebagai 'Superman’,  supaya kerajaan membayar lebih RM1 juta berhubung pengharaman buku itu.

Pada 2019, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku komik Hew atas alasan kandungannya memudaratkan ketenteraman awam.

Hew memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan itu tetapi Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada April 2021.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu pada Jun dan menarik balik larangan tersebut. Ini menyaksikan Kementerian Dalam Negeri mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun pada Disember tahun lalu, mahkamah persekutuan mengekalkan penarikan pengharaman itu.

[Baca berita penuh]