Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Saksi beri keterangan isu culik, bukan pembunuhan Morais - peguam

Mahkamah Rayuan hari ini mendengar hujah bahawa seorang tertuduh yang menjadi saksi pendakwaan hanya memberi keterangan mengenai penculikan Anthony Kevin Morais, bukan pembunuhan timbalan pendakwa raya itu.

Peguam bela Kitson Foong hari ini berhujah bahawa keterangan lisan G Gunasekaran hanya menyentuh mengenai penculikan Morais pada 2015, dan tidak pernah menyentuh pembunuhan sebenar pada tahun yang sama.

Semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan panel rayuan tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail pagi ini, Foong menegaskan bahawa mahkamah sebelum ini terkhilaf dalam bergantung kepada keterangan Gunasekaran yang tidak disokong untuk mensabitkan S Ravi Chandaran atas pembunuhan itu.

Foong menyatakan bahawa peringkat awal perbicaraan pembunuhan pada 2016 terhadap anak guamnya Ravi Chandaran dan Gunasekaran serta empat lelaki lain, menyaksikan pihak pendakwaan bergelut untuk membuktikan unsur-unsur pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam itu berhujah bahawa ini menyebabkan pendakwaan menjadikan Gunasekaran sebagai saksi utama terhadap enam individu lain, yang didakwanya dengan sendirinya telah menimbulkan kemungkinan keterangan saksi tersebut tidak boleh dipercayai.

“Perbicaraan bermula dengan 53 saksi pendakwaan, dan kami dengan rendah hati percaya bahawa pihak pendakwaan sedang bergelut untuk membuktikan pembunuhan, dan tawaran telah dibuat dan dia (Gunasekaran) menjadi saksi ke-54 bagi pihak pendakwaan.

"Walaupun mereka (pendakwa raya) cuba mendapatkan saksi ke-54 untuk memberi keterangan mengenai pembunuhan, saksi itu tidak pernah berkata begitu, (dan sebaliknya) merujuk kepada penculikan," kata Foong kepada panel hakim Mahkamah Rayuan, yang turut dianggotai oleh Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin.

Peguam itu menambah bahawa keterangan saksi itu lemah kerana ia hanya merujuk kepada niat bersama untuk penculikan dan bukannya tuduhan membunuh.

Selain Ravi Chandaran, 52, lima lagi perayu yang ingin membatalkan sabitan membunuh dan hukuman mati atas pembunuhan Morais ialah bekas pakar patologi Dr R Kunaseegaran, 60; R Dinishwaran, 31; AK Thinesh Kumar, 30; M Vishwanath, 33; dan S Nimalan, 30.

Perbicaraan Mahkamah Rayuan akan disambung semula pada 14 Dis, dengan pasukan undang-undang Vishwanath dijangka meneruskan penghujahan lisan mereka serta pihak pendakwa untuk menentang hujah perayu.

Pada 10 Julai 2020, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azman Abdullah (yang telah dinaikkan ke Mahkamah Rayuan awal tahun ini) mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas enam lelaki itu atas pembunuhan Morais.

Mayat Morais ditemui dalam tong berisi konkrit pada 16 Sept 2015, di Subang Jaya. Seramai 84 saksi termasuk 14 saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada 6 April 2016.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang ketika itu membawa hukuman mati mandatori.

Kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori tahun ini, menjadikannya hukuman pilihan bagi kesalahan membunuh dan kesalahan tertentu yang lain.

Azman memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa enam lelaki itu telah melakukan pembunuhan mengikut Seksyen 300 Kanun Keseksaan.

Gunasekaran pada mulanya didakwa bersama enam tertuduh lain.

Bagaimanapun, pada 20 Dis 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan membunuh terhadap Gunasekaran dan sebaliknya, dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan mayat Morais.

Semasa menjalani hukuman penjara dua tahun bagi pertuduhan alternatif, Gunasekaran memberi keterangan bagi pendakwaan terhadap enam lelaki itu. Dia dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman pada Januari 2017.

Semasa perbicaraan, isu kemungkinan motif pembunuhan Morais dibangkitkan oleh pihak pendakwaan, iaitu ia dikaitkan dengan peranan si mati dalam kes berasingan terhadap Kunaseegaran di mahkamah Shah Alam.

[Baca berita asal]