Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penipuan kuota pekerja asing: 'Saya memang serius, arah tindakan tegas'

Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak memandang ringan berhubung sindiket penipuan kuota pekerja asing yang kini dalam siasatan, kata menterinya V Sivakumar.

Sivakumar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan itu.

"Perkara ini memang dalam siasatan. Kita sedang mengenal pasti siapakah pihak yang terlibat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan ataupun pihak yang terlibat dalam membawa pekerja daripada negara lain, tanpa ada pekerjaan di Malaysia.

"Saya memang serius dengan perkara ini. Saya juga ada membincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet dan telah mengarahkan JTK (Jabatan Tenaga Kerja) mengambil tindakan tegas dalam menanganinya.

"Bagi saya ini adalah sangat penting untuk menjaga imej negara," katanyan kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Pengusaha Restoran India, Malaysia (Primas) di Subang, Selangor hari ini.

Sivakumar berkata demikian ketika ditanya berkenaan perkembangan siasatan KSM terhadap laporan Malaysiakini yang membongkar kegiatan sindiket yang memohon kuota pekerja asing menggunakan dokumen palsu.


Syarikat cengkerang, VIP 'perisai' dalang penipuan kuota pekerja asing

Urus niaga jutaan ringgit dari penipuan permohonan kuota pekerja asing


Laporan itu antara lain mendedahkan enam syarikat yang memperoleh kuota untuk mengambil sejumlah 1,625 pekerja asing bagi sektor perkhidmatan pada 2022.

Laporan itu mendedahkan betapa lemahnya pemeriksaan oleh kerajaan menyebabkan beratus-ratus pekerja yang tiba mendapati tiada pekerjaan disediakan untuk mereka.

Sementara itu, Sivakumar sekali lagi berkata siasatan mendapati jumlah warga asing yang terlibat tidak setinggi seperti yang dilaporkan.

"Walaupun jumlah yang sering kali disebut adalah terlalu tinggi, sedangkan jumlah itu bukan terlalu tinggi.

"Tapi segala usaha diambil oleh kementerian dan JTK untuk memastikan kita mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat," katanya lagi.

Kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan masalah itu sebagai "terkawal" telah mengundang kecaman bekas ahli parlimen Klang Charles Santiago yang berkata ia "tidak bertanggungjawab" dan "bahaya" terhadap pekerja yang menjadi mangsa.

Dalam pada itu, Sivakumar mengingatkan majikan dan pihak yang ingin membawa pekerja asing agar memastikan pekerjaan memang tersedia sebelum membawa mereka ke Malaysia.

"Sekiranya gagal kami akan mengambil tindakan yang keras," katanya lagi.