Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pekerja ladang Indonesia maut diserang gajah liar

Seorang pekerja ladang warga Indonesia maut dipercayai diserang seekor gajah liar di Ladang Upayapadu, Mukim Relai, Chiku, di Gua Musang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata Sandra Kirana Sinaga, 39, ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri pada jam 9.45 malam di ladang itu.

Beliau berkata terdahulu pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.14 tengah malam.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan telah meninggal dunia di ladang getah Division B5, Ladang Upayapadu, di Gua Musang.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian mangsa. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa kepada Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi proses bedah siasat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sik berkata siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan mangsa maut akibat diserang gajah liar (Elephas maximus).

“Kira-kira jam 10 malam, Perhilitan Daerah Kuala Krai telah menerima aduan dari pihak pengurusan ladang berkenaan mengenai serangan haiwan liar terhadap pekerja ladang tersebut. Hutan simpan yang berhampiran adalah Hutan Simpan Lebir dan Hutan Simpan Relai.

“Anggota Perhilitan tiba jam 11.15 malam di lokasi kejadian dan telah mengenal pasti spesies yang menyerang mangsa adalah gajah liar (Elephas Maximus),” katanya.

Menurut Mohamad Hafid, Perhilitan telah mengambil langkah proaktif dalam usaha mengurangkan Konflik Manusia-Gajah melalui pelbagai tindakan termasuk operasi tembak halau, operasi kawalan, pemantauan serta operasi tangkap pindah.

“Perhilitan memohon kerjasama pemilik ladang supaya mengamalkan amalan pertanian yang baik seperti menyediakan sistem pagar elektrik gajah (SPEG), membina parit gajah dan tidak membiarkan kawasan ladang yang tidak ditanam dalam keadaan semak samun,” katanya.

- Bernama