Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Kebakaran di  Bukit Selambau: Penduduk gesa tindakan pada kilang haram

Penduduk sekitar kawasan kebakaran di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah menuntut pihak berkuasa bertindak terhadap kilang haram yang didakwa terlibat.

Gesaan itu dibuat selepas laporan tiga premis dipercayai beroperasi secara haram kerana tiada sebarang kebenaran atau lesen bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sudah dijangkakan mereka tiada lesen. Saya tidak rasa mereka boleh dapat lesen dan kelulusan daripada pihak berkuasa dan itulah sebabnya kenapa mereka kena buat diam-diam,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Fong.

Dia juga mengesyaki terdapat kilang-kilang lain yang mempunyai status sama.

Fong justeru menyeru supaya siasatan lanjut dan tindakan keras terhadap dilakukan kerana penduduk bimbang terhadap kesihatan keluarga masing-masing.

Katanya, siasatan juga perlu dibuat jika kerajaan serius dengan dasar-dasar urus tadbir alam sekitar.

“Banyak kali anak saya alami hidung tersumbat setiap kali terdapat bau asap, yang selalunya jadi pada waktu malam,” katanya.

Fong berkata, kesannya turut dirasai di dalam rumah walaupun semua pintu dan tingkap tertutup.

Malam tadi, Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pegawai mereka masih tidak dibenarkan memasuki tapak kebakaran untuk mengambil sampel kerana keadaan belum selamat.

Bagaiamanapun mereka sudah mendapatkan kenyataan daripada pemilik tanah.

[Baca berita asal]