Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

ULASAN l Unsur referendum di Kemaman

ULASAN l Mulanya saya tidak bercadang mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu. Tetapi apabila Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Abdul Munim, dilaporkan berkata, kemenangan PAS bukan sesuatu yang “luar biasa”, saya rasa baik kalau kita berikan perspektif kepadanya.

Dia berkata, PAS memang di kubunya sendiri dan sekaligus menolak dakwaan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang kemenangan besar calonnya, Ahmad Samsuri Mokhtar, adalah referendum terhadap kerajaan Perpaduan.

Kenyataan jurucakap Anwar Ibrahim itu bercanggah dengan hujah Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang, pada 13 November, menyatakan keyakinan menawan semula Kemaman "kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Umno dan bukannya parti PAS".

Ahmad Zahid menyifatkan kawasan itu sebagai kubu kuat Umno. Bukan sekadar kubu tetapi kubu kuat! Demikianlah keyakinan Presiden Umno itu walaupun sudah berulang kali songsang.

Reaksi negatif buat pentadbiran Anwar

Tetapi apabila keputusan diumumkan, Umno yang mewakili BN, Pakatan Harapan dan kerajaan Perpaduan kalah teruk. Lagi teruk daripada dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu.

Calonnya, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tewas dengan kekurangan undi 37,220. Bekas jeneral itu mendapat 27,778 undi manakala Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi.

Walaupun peratusan keluar mengundi rendah, tetapi undi yang diperoleh Menteri Besar Terengganu itu lebih tinggi. Dalam PRU 2022, calon PAS yang kemenangannya dibatalkan mahkamah, Che Alias Hamid, memang dengan majoriti 27,179.

Maksudnya, populariti PN-PAS meningkat dengan banyak manakala BN-Umno dan sekutunya merudum. Kalau calon BN dalam PRU tahun lepas, Ahmad Said, memperoleh 38,535 undi, Raja Mohamed Affandi hanya mendapat 27,778 undi iaitu kejatuhan sebanyak 10,757 undi.

Lupa susur-galur politik Terengganu

Oleh sebab calon BN-Umno itu juga mewakili PH dan kerajaan Perpaduan, maka kekalahannya sedikit sebanyak menggambarkan reaksi negatif terhadap pentadbiran Anwar.

Banyak orang tidak tahu atau sudah lupa susur-galur politik Terengganu sehingga PAS begitu kuat. Kalau saya kata, kekuatan PAS di Terengganu ada kena dengan Anwar, tentu ada yang tercengang atau tidak percaya.

Umno memerintah Terengganu dari 1961 hingga 1999. Dalam PRU 1999 PAS menang atas gelombang reformasi. Pada waktu itu, PAS adalah penyokong kuat reformasi. Jadi tidak menghairankan kalau PAS kuat sehingga boleh menundukkan PH dan BN. 

Ia menyapu bersih lapan kerusi Parlimen dalam PRU tahun lalu dan semua kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu. Hanya dalam PRU 2004 PAS tewas.

Benar Kemaman kubu PAS dan hampir semua pengundinya Melayu, namun unsur referendum terhadap kerajaan Perpaduan dan kepemimpinan BN-Umno tidak dapat ditolak atau dinafikan sewenang-wenangnya. Bukan perkara remeh apabila dalam masa setahun, sokongan kepada BN-Umno merosot hampir 11,000.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.