Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kebakaran di Bukit Selambau perlu siasatan forensik - MP Sungai Petani

Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari berkata letupan dan kebakaran yang berlaku di kilang di Bukit Selambau terkawal namun siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Taufiq berkata kebakaran yang berlaku 7.57 malam tadi berjaya dikawal pada jam 10.02 malam tetapi prosedur pemadaman sepenuhnya masih dilakukan.

“Saya telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu untuk mendapatkan butiran lengkap berhubung situasi itu.

"Mujur tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. Saya dimaklumkan punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti tetapi disyaki berpunca daripada bahan mudah terbakar, bukannya bunga api seperti yang disyaki pada awalnya.

"Diharap semua pihak mengelak daripada menyebarkan sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya yang enggan membuat spekulasi memandangkan perkara itu masih dalam siasatan.

Menurutnya sekiranya terdapat bahan tercemar dikenal pasti dalam kejadian itu, Jabatan Alam Sekitar wajar menyiasat dan menjalankan kerja-kerja pembersihan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Proses memadam kebakaran sedang berjalan, dan hanya selepas selesai barulah siasatan forensik boleh diteruskan.

“Saya juga telah mengarahkan Pusat Khidmat Parlimen Sungai Petani untuk bekerjasama dengan jabatan berkaitan dalam membantu mereka yang terkesan akibat kejadian ini.

"Saya menggesa semua pihak untuk mengambil langkah proaktif, terutamanya membabitkan sisa elektronik (e-waste), bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti itu berulang pada masa depan. Kewaspadaan yang lebih tinggi dan pematuhan ketat terhadap protokol keselamatan penting untuk memastikan keselamatan orang ramai dan harta benda mereka," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Zaidy Che Hassan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan menjalankan operasi membabitkan barangan kitar semula.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, terdapat tiga gudang penyimpanan barangan terpakai terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri yang terlibat dalam kebakaran itu.