Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Mahkamah arah kerajaan, polis bayar RM14,000 kepada Indira

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar kos sebanyak RM14,000 kepada M Indira Gandhi selepas pihak-pihak berkenaan gagal membatalkan saman yang difailkan wanita itu bagi mendapatkan semula anak perempuannya Prasana Diksa, yang dilarikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah sejak 14 tahun lalu.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah hari ini menolak permohonan kerajaan dan polis serta dua yang lain iaitu Ketua Polis Negara (KPN) dan Kementerian Dalam Negeri I(KDN) untuk membatalkan tuntutan kos oleh guru tadika berkenaan.

Peguam Indira, Rajesh Nagarajan mengesahkan perkara itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan menafikan permohonan berkenaan pada 16 Julai 2021 dan 7 Sept tahun lepas.

"Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad) telah menolak permohonan tersebut dengan kos RM2,000 kerana kekurangan merit dan fakta bahawa tiada keadaan khusus yang dikemukakan oleh defendan untuk memenuhi undang-undang," kata Rajesh.

Sebelum ini, pihak berkuasa berpendapat bahawa tuntutan mahkamah adalah bersifat skandal, remeh, menyusahkan, atau menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 28 Okt 2020, Indira memfailkan saman atas dakwaan kegagalan pihak polis menjejaki Riduan, menangkapnya, dan mendapatkan semula Prasana daripada bekas suaminya itu.

Prasana masih bayi ketika bapanya Riduan, yang sebelum ini bernama K Pathmanathan, dilaporkan melarikannya pada 2009 selepas memeluk Islam.

Riduan dan Indira kemudian terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung hak penjagaan selepas Riduan secara sepihak mengislamkan Prasana dan dua lagi anak mereka.

Pada 2014, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan polis mendapatkan semula Prasana daripada bapanya.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Riduan.

Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan penukaran agama kanak-kanak secara sepihak adalah menyalahi undang-undang kerana keputusan sedemikian memerlukan kebenaran daripada kedua ibu bapa.

Mahkamah tertinggi itu juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Riduan.

Menurut tuntutan mahkamah yang dikemukakan Indira, KPN didakwa gagal mematuhi dua perintah Mahkamah Tinggi di Ipoh yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014.

Perintah pertama ialah perintah komital supaya Riduan dipenjarakan kerana gagal mengembalikan Prasana kepada Indira. Manakala perintah kedua dikeluarkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk mendapatkian Prasana daripada Riduan dan mengembalikan kanak-kanak itu kepada Indira.

Indira mendakwa KPN telah melakukan 'tort of nonfeasance' dalam pejabat awam apabila gagal menangkap Riduan dan mendapatkan semula Prasana.

Plaintif sedang memohon pengisytiharan bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeansance dalam pejabat awam dan tiga defendan lain bertanggungjawab secara vikarius bagi 'tort of nonfeasance' yang dilakukan KPN.

Indira juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos, dan apa-apa perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.