Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

'Masih ramai peniaga menu Rahmah belum mohon kad diskaun khas'

Hanya 42 daripada 2,849 peniaga menu Rahmah memohon kad diskaun khas yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 2 November lalu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri KDPN Fuziah Salleh, yang berkata terdapat pengusaha menu Rahmah yang tidak mengetahui inisiatif diperkenalkan KPDN berikutan maklumat mengenainya belum tersebar dengan baik.

"Setakat ini 42 peniaga mendaftar secara dalam talian. mungkin juga kerana kesedaran itu masih kurang.

"Ramai (peniaga) bila saya tanya tak tahu berkenaan kad insentif menu Rahmah itu.

"Jadi kita mengalu-alukan semua pengusaha menu rahmah mendaftar di portal menu Rahmah yang disediakan," katanya ketika ditemui media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Fuziah melawat gudang pemborong barangan keperluan asas yang terletak di Indera Mahkota, dekat Kuantan.

Kad diskaun khas tersebut dilancarkan pemangku Menteri KPDN Armizan Mohd Ali pada 2 November lalu di ibu negara.

Melalui kad itu, peniaga menu Rahmah boleh menikmati potongan harga hingga 40 peratus apabila membeli barangan seperti ayam, bawang dan barangan asas makanan yang lain.

Sebanyak enam pasar raya yang menjadi rakan strategik KPDN dalam menawarkan diskaun kepada peniaga terbabit.

Ketika ditanya mengenai sebab permohonan yang masih rendah, Fuziah berpandangan ia disebabkan proses penilaian yang mengambil sedikit masa sebelum kad itu dikeluarkan kepada peniaga yang layak.

"Sebab masa kita mula lancar kad belum terus boleh guna... kita kena buat naziran (penilaian), bila ada syor daripada KPDN peringkat negeri dan selesai proses naziran, barulah kad itu dikeluarkan.

"Kita nak pastikan tidak ada yang ambil kesempatan kerana ini memang untuk pengusaha menu Rahmah," jelasnya.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan persediaan bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas sempena musim tengkujuh sudah dimulakan sejak awal bulan lalu.

Katanya, terdapat pemborong yang diberi kebenaran untuk menyimpan stok melebihi 30 peratus daripada kebiasaan.

"Penambahan stok itu membabitkan barangan seperti beras, gula dan barangan keperluan asas yang lain.

"KPDN melantik pemborong bagi memastikan bekalan tidak terputus apabila berlakunya banjir dan di Pahang sendiri, terdapat 99 pemborong diberi kebenaran untuk meningkatkan jumlah simpanan barangan keperluan asas di gudang mereka," katanya.