Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Peguam: Kes SRC RM27 juta umpama perkara malang yang mengekori Najib

Pasukan peguam Najib Razak berkata kes pengubahan wang haram SRC International berjumlah RM27 juta telah menjadi seperti perkara malang yang menunggu untuk menimpa bekas perdana menteri itu selama empat tahun, sejak 2019.

Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini maka ada keperluan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Najib, kerana ia belum mula dibicarakan.

Dia memberitahu hakim K Muniandy, walaupun kes pengubahan wang haram SRC International masih berjalan, kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta terhadap Najib sudah selesai dengan dia menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak tahun lalu.

Kes tersebut melibatkan tujuh pertuduhan, iaitu satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pecah amanah jenayah dan tiga pengubahan wang haram.

Kes pengubahan wang haram SRC pula melibatkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

"Untuk tidak prejudis terhadap pendakwaan dan tertuduh, saya menggesa DNAA dibenarkan memandangkan kes ini belum dibicarakan pun.

"Jika pendakwaan membuat keputusan berbeza nanti, kes ini boleh dibawa semula ke mahkamah.

"Jadi tiada prejudis terhadap pendakwaan dan anak guam kami. Selama empat tahun, kes ini seperti perkara malang yang menunggu untuk menimpanya (Najib)," katanya, di saat Najib berada di kandang tertuduh.

Muhammad Shafee Abdullah

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Ashrof Adrin Kamarul membantah permohonan DNAA itu, sebaliknya meminta mahkamah memberi Pejabat Peguam Negara (AGC) tiga bulan lagi untuk menimbang representasi Najib.

Mohd Ashrof berkata kes itu sebelum ini mahkamah membenarkan perbicaraan kes itu ditangguh, sementara menunggu rayuan Najib untuk kes rasuah SRC International.

Dia berkata Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib pada Ogos tahun lalu, namun Najib kemudian memohon panel hakim Mahkamah Persekutuan yang lain untuk menyemak keputusan tersebut.

Katanya lagi, jika bukan kerana permohonan semakan itu - yang telah ditolak pada Mac lalu - kes pengubahan wang haram RM27 juta SRC International terhadap Najib pasti sudah bermula awal tahun ini.

Kepentingan awam

Ketika Muniandy bertanya mengapa AGC lambat membuat pertimbangan terhadap representasi Najib, Ashrof berkata Najib merupakan individu dengan kepentingan awam yang tinggi dan berdepan beberapa kes di mahkamah berbeza.

Untuk rekod, Najib juga berdepan kes pecah amanah jenayah melibatkan International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM6.6 bilion (yang belum memulakan perbicaraan penuh) dan kes rasuah RM2.27 bilion 1MDB yang sedang berjalan.

Namun Shafee membalas bahawa mahkamah patut memberikan DNAA kepada Najib dalam kes pengubahan wang haram SRC kerana dia ada beberapa kes lagi di mahkamah lain.

"Anak guam saya adalah orang pertama dalam sejarah Malaysia yang berdepan pendakwaan dari setiap arah dan setiap mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membebaskan Najib dalam kes meminda laporan audit 1MDB. Pihak pendakwaan bagaimanapun membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Muniandy menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan kes yang terakhir. Dia turut mengingatkan pendakwaan agar membuat keputusan sama ada untuk menyemak semula kes pengubahan wang haram SRC International atau tidak.

[Baca berita asal]