Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Nak jadi ketua pemuda tak cukup hanya berteori, kata Mat Sabu

WAWANCARA l Seorang ketua pemuda yang baik, kata Mohamad Sabu, bukan hanya mahir berteori sebaliknya membuktikan diri sendiri tahan diuji serta komited terhadap perjuangan.

Ditanya sifat pemimpin pemuda yang diinginkan dalam Amanah, Mohamad berkata hal itu kerana dalam realiti politik tugas sebagai ketua itu memerlukan seseorang pemimpin memberikan komitmen yang sangat tinggi.

Menjadikan beberapa bekas pemimpin PAS dan Anwar Ibrahim sebagai contoh, presiden Amanah itu menjelaskan mereka terbukti begitu bersemangat mengisi setiap program yang diadakan.

"Orang (nak) berteori boleh, tapi saya nak siapa yang nak naik - tak kira di peringkat nasional ke (lebih bawah juga), ialah kerajinan" katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di Petaling Jaya, semalam.

Mohamad - yang lebih popular dengan panggilan Mat Sabu - menyebut dua nama bekas pemimpin utama PAS iaitu Allahyarham Fadzil Noor dan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, masing-masing pernah menjadi presiden dan mursyidul am parti itu.

Amanah akan mengadakan konvensyen tahunannya di Klang, Selangor pada minggu ketiga bulan depan. Parti itu juga akan mengadakan pemilihan jawatan di peringkat nasional.

Antara persaingan yang menarik perhatian setakat ini ialah jawatan ketua pemudanya. Setakat ini sudah ada tiga nama yang menyatakan minat untuk jawatan tersebut.

Mereka ialah penyandang, Hasbie Muda; Ketua Pemuda Amanah Selangor merangkap Adun Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid; dan Exco Pemuda Amanah Nasional merangkap Ketua Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman.

Payah nak diamalkan

Menjelang pemilihan itu ada beberapa pihak menyuarakan rasa kurang puas hati terhadap kepemimpinan Hasbie yang dianggap kurang menonjol, sekali gus menjadikan sayap Amanah berkenaan dilihat hilang taring.

Mohamad berkata sebagai orang lama dalam politik, keterampilan di khalayak itu penting untuk mendatangkan keyakinan.

"Orang berteori ni banyak, tapi apabila sampai di peringkat pelaksanaan...." katanya tanpa menghabiskan ayat tersebut.

Menjelaskan hal itu, dia mengambil contoh masa dan tenaga yang digunakan untuk berkempen sempena PRK Kemaman.

Perjalanan dua hala saja, katanya, memakan masa selama enam jam sedangkan waktu untuk berceramah hanya kira-kira 30 minit.

"Kalau tak ada semangat yang kuat dalam jiwa kita, tak boleh. Semangat tu teras," katanya.

Mohamad yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, Anwar selaku perdana menteri boleh menyusun sehingga lapan program sehari untuk dihadiri.

"Nak amalkan yang begitu itu yang agak payah," katanya.

Sementara itu Mohamad juga ditanya mengenai pandangannya terhadap pemuda parti yang kini tidak lantang atau garang seperti ketika dia bersama PAS.

Jelas bekas timbalan presiden PAS itu, amalan berpuak-puak atau mewujudkan kumpulan-kumpulan berbeza tidak kelihatan dalam Amanah setakat ini.

"Tradisi kecam-mengecam satu sama lain ini belum jadi budaya lagi (dalam Amanah), jika (pemuda) kurang lantang itu, terserah kepada orang (untuk menilai)," katanya.

Sudah lepasi kemuncak

Namun, dia tidak dapat menjangka sama ada pada masa hadapan, persaingan merebut jawatan dalam parti itu akan menjadi semakin hebat.

Ditanya mengenai Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu sekali gus menyebabkan kekosongan jawatan dalam parti dan kerajaan, Mohamad menyerahkan keputusan itu kepada perwakilan konvensyen akan datang.

Mengganggap bekas timbalan presiden Amanah itu sebagai amilin (aktivis) berbanding ahli politik, Mohamad berkata: "Penggantinya, saya serah kepada konvensyen nanti. Yang mana ahli pilih, itulah yang kita (terima)," katanya ringkas.

Diminta mengulas mengenai pandangan penganalisis yang menjangkakan pengaruh kumpulan garis keras PAS dalam PN akan dominan jika Bersatu kian lemah, Mohamad berkata, dia yakin naratif yang dibawa kelompok terbabit akan pudar dari semasa ke semasa.

Katanya antara naratif yang dibawa mereka ialah kononnya Melayu dan Islam di negara ini terancam.

"Saya fikir ia adalah kemuncak kepada naratif yang dibawa mereka. Ia tidak boleh lepas dari kemuncak itu dah. Sekarang ini 'grafnya' kita nampak menurun," katanya.